Berita, Isu Semasa

Malaysia berdepan krisis tenaga elektrik pada 2018

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Malaysia mungkin berdepan krisis tenaga menjelang 2018 berikutan kelewatan projek loji janakuasa utama seperti Projek 4A, Projek 3B dan menjunamnya rizab kepada hanya 9 peratus ketika tempoh permintaan sedang memuncak tahun lalu.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Suruhanjaya Tenaga (ST) kini berdepan krisis apabila rakan kongsi utamanya YTL Power International Bhd menarik diri daripada projek tersebut.

okm“ST sepatutnya membuka bidaan bagi Projek 4A untuk tender kompetitif supaya pihak paling berpengalaman dengan harga paling rendah mendapat kontrak tersebut.

“Sebaliknya apa yang berlaku kini merupakan satu lagi kelewatan dalam pembinaan loji tenaga yang amat diperlukan bagi menyelamatkan negara ke arah krisis elektrik dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pihak kementerian dan ST harus bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

Kian Ming berkata demikian merujuk kepada laporan The Edge hujung minggu lalu yang menyatakan SIPP Energy Sdn Bhd sedang mencari rakan kongsi baru untuk Projek 4A dan kemungkinan akan menjual 51 peratus pegangan sahamnya selepas ST menolak tarif yang mereka cadangkan.

Dilaporkan juga, pegangan saham SIPP mungkin dijual sebanyak RM300 juta dan ini boleh menyebabkan peningkatan kadar baru tarif untuk Projek 4A, yang akan menjadikan ia lebih tinggi daripada jika projek itu dianugerahkan melalui tender terbuka.

Pada 31 Jun tahun lalu, ST telah menganugerahkan projek pembinaan janakuasa ‘Projek 4A’ 1000MW hingga 1400MW secara rundingan terus kepada satu konsortium yang terdiri daripada SIPP, YTL dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

SIPP sebelum ini telah dikritik kerana tidak mempunyai sebarang rekod dalam pembinaan loji kuasa dan keadaan ini bertambah mengelisahkan apabila YTL menarik diri pada 19 Jun lalu. – Roketkini.com