Berita, Isu Semasa

SPRM perlu segera siasat skandal MARA

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat semua transaksi anak syarikat Majlis Amanah Raya (MARA), MARA Inc berikutan pendedahan rasuah melibatkan syarikat itu.

Logo-SPRM

SPRM perlu siasat MARA segera.

Dalam sebuah kenyataan bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit  Mertajam Steven Sim berkata aktiviti rasuah dan penggubahan wang haram itu rumit dirungkaikan.

Kerumitan itu menyebabkan portal berita Australia, The Age mengambil masa sehingga lapan bulan bagi  menyiasat skandal rasuah tersebut.

“Pendedahan terperinci The Age menimbulkan dakwaan serius mengenai rasuah dan pecah amanah pegawai-  pegawai Mara,

“SPRM perlu siasat semua transaksi yang dijalankan anak syarikat Mara Inc,” kenyataan itu dipetik.

Tambahnya, Mara Inc adalah syarikat pelaburan yang menjalankan aktiviti komersial melalui pengurusan  hartanah, pelaburan dan pembangunan.

The Age turut mendedahkan bahawa Mara Inc turut terlibat dalam aktiviti rasuah melalui pembelian sebuah  bangunan di Melbourne Australia.

Menurut laporan itu, bangunan dibeli pada harga RM65 juta berbanding harga pasaran dianggarkan RM52 juta.

Dalam laporan turut dinyatakan, RM13.7 juta adalah habuan rasuah kepada pemaju dan pegawai MARA terlibat.

“Skandal rasuah Mara membuktikan ada yang tak kena sedang berlaku dalam agensi kerajaan Malaysia, terutama yang menjalankan pelaburan dana awam.

“Jika SPRM tidak bersungguh-sungguh dan tegas menyiasat, kepercayaan rakyat akan terus terhakis terhadap institusi kerajaan,” kata mereka. – Roketkini.com