Berita, Isu Semasa

Isu MARA: Kalau ragu, kenapa tubuh syarikat?

KOTA BHARU, 25 JUN: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan tindakan MARA bersetuju menubuhkan syarikat luar pesisir bagi membeli hartanah di luar negara, sedangkan transaksinya meragukan.

“Kesemua hartanah yang dibeli Mara Inc terlibat dengan syarikat yang sangat meragukan.

“Jika soalan ini mereka tak dapat jawab, lebih baik mereka letak jawatan bersama-sama,” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Akhbar Australia The Age melaporkan Mara Inc membeli empat aset hartanah termasuk Dudley House berharga AD$ 22,5 juta (RM65 juta), sebuah blok bangunan di Swanston Street dengan harga sama selain dua lagi dengan harga AD$42 juta.

Pembelian aset terbabit didakwa melibatkan rasuah di kalangan pegawai MARA dan pemaju tempatan di samping ahli-ahli politik Malaysia.

Justeru kata Kit Siang, kenyataan Pengerusi MARA Annuar Musa yang memberi seminggu untuk Mara Inc menyediakan penjelasan terperinci berkaitan pembelian aset di Australia terlalu lambat dan tidak pro aktif.

“Annuar bukan sahaja mahu akaun pembelian bangunan Dudley Street di Melbourne, bahkan semua laporan mengenai beberapa transaksi Mara Inc di Australia.

“Dia juga berkata akan adakan mesyuarat setelah laporan itu disiapkan.

“Apa yang Annuar lakukan itu sangat lembab,” kata Kit Siang.

Tambahnya, MARA lewat menangani skandal tersebut, berbanding tindakan pantas pihak berkuasa Australia yang telah pun menyerbu sebuah rumah di Vermont South, Melbourne ekoran pendedahan skandal tersebut kelmarin.

‘Operasi Carambola’ itu akan mulai mensasarkan beberapa premis lain bagi menyiasat sindiket jenayah ‘melibatkan warga Malaysia menggunakan hartanah Australia bernilai jutaan dolar bagi penggubahan wang haram dan sogokan’ – Roketkini.com