Budaya

Social Carbon Copy: Semangat dan iltizam

(I)

Minggu-minggu mutakhir yang menyedut hampir setiap daripada kita – yang waras dan peduli selaku warga negara – menjadi penghuni ruang hampa. Kekalutan di dalam naratif perjalanan negara yang dikasihi ini tidak dapat tidak mengheret sama kekecewaan sampai ke sofa dan katil waima di rumah. Perbualan-perbualan menjadi sangat meletihkan, secara emosi.

Kita tercari-cari, misalnya apa yang sudah terjadi kepada makna integriti? Amanah di letak di celah dada siapa waktu ini? Adakah nasib bangsa ini sekadar retorik untuk dilaung sebelum hal yang sama dirembat di belakang batang tubuh warganya sejurus selepas gema laungan itu memudar di dalam perhimpunan?

Bagaimana barisan pemimpin yang ada kini sanggup meletakkan diri mereka di tahap yang paling rendah tanpa sedikit pun rasa malu, itu sama sekali tak dapat hendak dijelaskan.

Tuhan baru muncul lagi, dan tasbih yang meniti di bibir setiap kali; wang ringgit, wang ringgit, wang ringgit. Iman yang semakin berputik, walaupun di luar kesedaran hasil sogokan saban hari pada skrin di hujung jari, iman baru muncul di hadapan mata dan tak akan pergi sehinggalah kita pun percaya – kehidupan adalah tentang wang ringgit.

Ketamakan perlahan-lahan memamah fikrah, termasuk di dalam diri kita sendiri. Adakah kehidupan direndahkan tujuannya kepada hanya untuk memikirkan soal wang ringgit semata-mata? Semoga masih ada harapan yang menunggu untuk disingkap di hujung jalan buat semua.

 

(II)

Perasaannya adalah seperti sedang melekit berpeluh di dalam sebuah bilik yang udaranya pengap. Merimaskan, dan perlu hembus angin dari liang-liang udara lain, yang walaupun sangat halus dan tidak megah, tetap punyai kepentingan walau sekecil apa pun.

Di dalam keadaan inilah saya berjumpa dengan sebuah buku kecil dan nipis; Social Carbon Copy yang ditulis oleh Francis Wolf. Tak ada apa yang politikal tentang buku ini; ia hanya sebuah catatan jurnal perjalanan sebuah band yang pernah muncul di dalam spektrum muzik tempatan dengan nama Spunky Funggy oleh tonggak utamanya sendiri, tak lama dulu.

Barangkali, bagi kebanyakan orang, naskah kecil ini tak membawa maksud apa-apa. Helai lembarnya “kosong”, tak membincangkan apa-apa gagasan, apatah lagi cuba bersyarah tentang ilmu kehidupan.

Sebaliknya, ia mengingatkan kita tentang kualiti-kualiti lain yang diperlukan dalam hidup. Kesungguhan, dan ikhtiar untuk menukar mimpi menjadi kenyataan. Untuk terus-menerus memikirkan, seterusnya melaksanakan bayangan impian yang diyakini supaya mampu menyuntik sisi-sisi baru dalam mengayakan diri (dengan imbuhan pengalaman yang tak ternilai).

Adalah sangat mengilhamkan untuk melihat bagaimana warga dari lapisan masyarakat umum, orang-orang kecil yang tak punya kepentingan tetapi berani menyimpan cita-cita, dan tegar mempertaruh nasib di dalam genggam tangan sendiri.

Dengan bekal muzik dan semangat punk yang diyakini mampu untuk menakluk dan diperluas pengaruhnya, perjalanan jelajah ke Australia dan Thailand menjadi agenda utama yang ingin dibikin jadi kenyataan.

Kisah kegagalan di Australia; bagaimana mereka tidak dibenarkan masuk dan dihantar pulang dengan penerbangan seterusnya adalah pengalaman menyakitkan. Kemudian, perhatian di hala ke Thailand, dengan semangat yang memang pada waktunya sudah hampir terpadam.

Wang ringgit jatuh ke tempat yang kedua atau ketiga atau lebih keterbelakang. Paling utama, adalah kesungguhan dan usaha untuk mencapai apa yang diinginkan, dalam maksud yang positif. Dan mereka berjaya melaksanakannya; jelajah 20 hari dengan beberapa siri persembahan yang diingati, sebagai pencapaian dan sejarah peribadi yang ingin dibanggakan, serta tak malu untuk dikongsikan.

Untuk kita mengetahui masih ada individu-individu dengan kualiti yang begini, baik di dalam lapangan apa pun, adalah merupakan sekelumit harapan yang diperlukan untuk kekal waras di waktu-waktu tepu dan rancu begini. Terlalu banyak perkara yang perlu diberi perhatian dalam menjalani kehidupan daripada sekadar menjadi kelabu mata di hadapan wang ringgit.

Semangat jangan luntur. Fikiran dalam kepala jangan terlalu dihalakan kepada kesenangan melalui jalan singkat, seperti watak-watak bacul yang tak punya prinsip yang dihadapkan ke muka kita setiap hari; bersedia menjual diri dengan tanda harga di buku lali.

Sangat memilukan untuk mengetahui sekiranya itu sahaja yang mampu dilakukan dengan sebuah kehidupan yang singkat yang dipinjamkan ini. Minta simpang. – Roketkini