Rencana

Di manakah harapan untuk Malaysia tercinta?

Apakah yang menerjah dalam benak fikiran anda apabila frasa ‘patriotisme’ disebutkan? Tentulah anda akan jawab “cinta kepada negara”, kan?

Pada pendapat saya, setiap individu tentu mempunyai definisi patriotisme sendiri. Namun demikian, apakah ‘patriotisme’ pada pendapat anda? Adakah anda percaya bahawa dengan cara mengundi setiap kali pilihan raya umum (PRU) diadakan? Dengan menjadi ejen undi dan mengira semasa PRU? Perlakuan ini semua tidak bersamaan dengan cinta akan tanah air. Sama ada para pembaca pernah mengundi ataupun tidak mempunyai hasrat untuk mengundi, adalah hak anda.

Adakah ia benar jika para pembaca masih rasa bahawa semangat cinta akan tanah air yang benar masih wujud dalam hati anda? Tentulah saya tidak merujuk kepada perbuatan seperti meletakkan tangan anda pada hati akan menyemarakkan semangat patriotisme. Menyanyikan ‘Negaraku’ ataupun mengibarkan Jalur Gemilang tidak membawa kepada semangat cinta akan tanah air yang sebenarnya.

Jangan membuta-tuli sokong pemimpin

Walaupun rakyat Malaysia kini mempunyai kesedaran politik yang lebih tinggi,  semangat patriotisme yang sebenar telah dibelakangi oleh rakyat. Kini, rakyat masing-masing sibuk menyokong para pemimpin yang mereka sukai, ini termasuk penyokong-penyokong setia pihak kerajaan ataupun pihak pembangkang akan hilang pemikiran yang rasional apabila isu-isu politik dibincangkan. Penyokong ini akan mempertahankan pemimpin yang mereka sokong tanpa mengira sama ada pemimpin ini melakukan kesalahan seperti ahli politik daripada blok yang lain, bak kata pepatah ‘kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak’. Sokongan yang tidak berbelah bagi dan membuta tuli tidak akan memanfaatkan ibu pertiwi kita.

Semasa PRU ke-13, dua tahun yang lalu, rakyat bertikam lidah untuk menyebelahi ahli politik ataupun parti politik yang mereka sokong. Adakah anda masih ingat khabar angin yang disebarkan pada hari mengundi PRU yang lalu? Khabar angin yang disebarkan merangkumi musibah seperti berlakunya kekecohan di beberapa kawasan negeri Pulau Pinang dan juga “blackout” di Bentong yang telah mencetuskan kemarahan rakyat yang merupakan penyokong barisan pembangkang.

Saya ingin mengingatkan kita semua agar tidak memberi sokongan kepada ahli politik ataupun parti politik yang anda sukai secara membuta tuli. Ini tidak akan memanfaatkan negara kita, malah akan menjadi benteng yang menangkis perpaduan kita. Bayangkan jika ahli keluarga dan sahabat handai anda bergaduh gara-gara isu politik yang dibincangkan. Adakah ini patut berlaku? Kita sebagai anak Malaysia sepatutnya hidup harmoni di bawah naungan Jalur Gemilang.

Saya ingin menjelaskan mesej saya. Saya tidak kata bahawa kita tidak perlu menyokong mana-mana ahli politik atau mana-mana parti politik, tetapi kita tidak harus hilang fikiran yang rasional dan memberi sokongan yang buta kepada para pemimpin yang berada di gelanggang politik. Perpecahan di kalangan rakyat telah meledakkan kebimbangan saya. Kita boleh menyokong ahli politik atau parti politik, tetapi jangan membelakangi masa depan dan manfaat negara kita.

Idola politik saya

Saya juga mempunyai beberapa orang pemimpin yang saya sanjungi termasuk Datuk Saifuddin Abdullah (mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), Gan Ping Sieu (mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, Senator Ariffin Omar bagi negeri Pulau Pinang dan juga Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Ahli Parlimen Kluang merupakan idola perdana daya saya kerana beliau merupakan seorang yang intelek. Saya memang sanjungi beliau sejak 2008 apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera yang ditandingi atas prestasi PRU yang begitu menakjubkan. Selain itu, beliau juga rajin sebagai wakil rakyat yang berdedikasi untuk memenuhi kewajipan dan tanggungjawab beliau.

Namun demikian, apabila beliau melontarkan cadangan untuk berkerjasama dengan UMNO Johor dan UMNO Perlis baru-baru ini tidaklah saya sokong, dan sebaliknya cadangan beliau tersebut mengecewakan saya. Saya masih berpendapat beliau merupakan seorang pemimpin dan ahli strategi parti yang mengagumkan. Saya berharap mesej saya akan menyedarkan beliau.

Ariffin Omar pula merupakan seorang pemimpin yang rendah hati dan peramah. Beliau masih bersemangat untuk memperjuangkan demokrasi dalam negara agar generasi muda dapat hidup dengan lebih baik. Beliau tidak pernah patah hati walaupun beliau hampir diberkas semasa Operasi Lalang pada 1987.  Walaupun beliau merupakan seorang pemimpin, beliau melakukan semua tugasnya tanpa perlu bergantung kepada pembantu atau penolong. Inilah pemimpin yang harus kita hormati.

Selain itu, Zairil Khir Johari merupakan ahli politik yang intelek. Beliau tidak berundur atau patah semangat walaupun dilabel sebagai ‘pengkhianat’ kepada bangsa Melayu apabila beliau menyertai DAP lima tahun yang lalu. Nasib baik beliau tidak berputus asa malah kerja bertungkus lumus.

Kini, beliau ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan merupakan ahli DAP yang mempunyai masa depan yang cerah. Beliau amat aktif dalam membawa perhatian orang ramai kepada isu-isu yang penting, terutamanya isu yang berkait rapat tentang pendidikan. Saya hormati beliau kerana beliau tidak pernah mengamalkan tingkah laku yang menuding jari kepada pihak lain yang telah menjadi lumrah kehidupan ahli politik di negara kita. Tingkah laku yang hanya tahu menuding jari ini amat menjijikan. Pada pendapat saya, kalau pemimpin hanya pandai menuding jari, ke mana halatuju negara kita? Adakah Malaysia boleh maju sekiranya ini dibiarkan berterusan.

Bilakah belenggu politik ini dapat diuraikan? Kita yang harus menentukan dasar pemerintahan sendiri dan menentukan nasib bangsa Malaysia, janganlah berkelakuan bagai kerbau yang dicucuk hidung dan mengikuti kata-kata pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Malaysia merupakan negara yang demokratik. Setiap warga negara mempunyai hak untuk bersuara, hak untuk berhimpun, dan tentunya hak untuk memilih pemimpin negara. Tiada sesiapapun yang berhak untuk memaksa kita kecuali kita sendiri yang sanggup melihat negara yang kita cintai terus melarat.

Tanggal 31 Ogos menandakan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-58, kita harus merenungi nasib kita sejenak dan apakah harapan kita terhadap tanah air kita. Hiruplah udara kemerdekaan. Bangkitlah daripada mimpi lena yang panjang sebelum terlalu lewat. – Roketkini.com

 

* Penulis adalah seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti tempatan