Rencana

Kenaikan tol, harga barang suatu legasi temberang Putrajaya

 

KENAIKAN kadar tol lebuh raya nyatanya satu lagi bukti kegagalan Putrajaya dalam menangani peningkatan kos seharian dan menyebabkan rakyat berpendapatan rendah terus dihimpit kos kehidupan yang semakin melonjak.

Sedangkan, harga runcit bahan api – sehingga sekarang, Putrajaya gagal menunjukkan cara atau formula pengiraan harga runcit bahan api. Harga bahan api di Malaysia masih mahal walaupun harga pasaran berada sekitar paras USD 50 se-tan.

Apatah lagi, kegagalan Putrajaya mengurus ekonomi juga menyebabkan nilai ringgit menyusut nilai melebihi 30 peratus sejak sembilan bulan lalu hingga mengakibatkan harga runcit bahan api naik lantaran ia diperdagang dalam mata wang USD.

pengangkutanawamKenaikan tambang bas dan pengangkutan awam – rakyat tiada alternatif selain mengayuh basikal apabila tambang dan pengangkutan awam dilapor akan naik lagi, tidak lama dahulu.

Jadi, apakah logiknya Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusuf menasihati rakyat supaya lebih menggunakan pengangkutan awam ketika tambangnya juga sama-sama naik seperti tol lebuh raya?

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus – juga tidak boleh dilupakan apabila ia mula dilaksanakan sejak April 2015. Bukankah Putrajaya berjanji bukan sahaja harga runcit sesetengah barang tidak naik, malah ada juga yang akan turun?

Tetapi sehingga sekarang, indeks harga pengguna (CPI) pada Ogos 2015 dicatat pada paras 113.9 –  tertinggi sejak setahun lalu mengikut statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Temberang Putrajaya

Sebenarnya, Kerajaan Persekutuan tidak ada rancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah kenaikan tol di Lembah Klang.

Secara kasar, terdapat dua jenis lebuh raya –  satu yang sudah lama beroperasi pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad  dan satu lagi, yang baru dan hanya beroperasi tidak sampai 10 tahun sejak zaman Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Maka, tidak betul apabila Fadillah menyatakan bahawa perjanjian konsesi itu ialah legasi  kerajaan terdahulu.  Siapakah kerajaan terdahulu? Bukankah kerajaan terdahulu juga kerajaan Barisan Nasional (BN)?

Soalnya, mengapakah kerajaan BN tidak menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk merunding semula semua perjanjian ini?

Contohnya, pemegang konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Litrak Sdn Bhd  diberi konsesi ini sejak 1998. Kos pembinaannya ataupun lebih tepat lagi, kos naik taraf beberapa jalan negeri dan persekutuan antara Damansara dan Puchong ialah RM1.4 bilion.

Sedangkan, Litrak banyak menjana keuntungan daripada LDP dan SPRINT sehingga mampu menampung kos pembinaan sepenuhnya. Walaupun perjanjian itu sudah ditandatangani tetapi ia tidak bermakna Putrajaya tidak boleh menjalankan rundingan semula.

LDPKalaupun masalah itu berpunca dari legasi ‘kerajaan terdahulu’ tetapi bagaimana pula dengan perjanjian konsesi yang ditandatangani ketika zaman pentadbiran Abdullah dan Najib. Umpamanya,  Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan sebagainya?

Mengapakah ia masih mewarisi ciri-ciri legasi ‘kerajaan terdahulu’? Apakah Putrajaya tiada daya dan upaya untuk mengubahsuainya demi kepentingan rakyat?

Andai syarikat konsesi itu enggan bertolak-ansur, mengapakah kerajaan tidak menggunakan ‘expropriation clause’ yang adat dalam perjanjian konsesi untuk mengambil alih lebuhraya itu?

Jika hal itu dilakukan, maka kenaikan tol boleh dikawal, dikurangkan atau dihapus sama sekali mengikut kemampuan kerajaan.

Harus ditekankan, Putrajaya boleh dan patut menggunakan kedudukannya untuk sekurang-kurangnya berunding semula dengan syarikat konsesi – setelah suatu tempoh tertentu apabila mereka menjana keuntungan secukupnya.

Konsesi harus dibuka semula untuk ditender dalam pasaran terbuka supaya penender yang menawarkan kadar tol terendah diberi hak konsesi untuk sesuatu tempoh tertentu. Ini penting untuk memecah monopoli sedia ada.

Sebenarnya, banyak cadangan boleh dilakukan oleh Putrajaya tetapi semuanya bergantung kepada keinginan politik atau political will. Jangan lari dari tugas dan tanggungjawab.

 

* Lau Weng San ialah Adun Kampung Tunku