Berita

MBPJ belakangkan ketetapan majlis, tunduk aksi samseng

KUALA LUMPUR 20 OKT: Keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membatal ketetapan sedia ada untuk memindah Bazar Deepavali di Kampung Sungai Way SS9A ke lokasi lebih sesuai, umpama  menggalakkan aksi samseng.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kesal kerana ketetapan Lembaga Penuh MBPJ pada 27 Mac lalu untuk menukar lokasi bazar itu ke tempat lebih sesuai, sewenang-wenang diubah dengan hanya penghantaran memorandum semata-mata.

“Tidak ada mesyuarat, tidak ada perbincangan, sebaliknya semata-mata kuasa Datuk Bandar untuk menukar ketetapan sedia ada dan segala kerja keras ahli majlis tempatan dan wakil rakyat selama ini.

“Sedangkan, penduduk tempatan, ahli jawatankuasa kampung, ahli majlis tempatan Sungai Way, Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara membantah lokasi asal bazar itu.

“Ia bakal menjadi tanda aras kepada MBPJ dan Kerajaan Selangor pada masa depan. Mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan sebarang keputusan akan menggunakan aksi samseng dan kroni politik untuk mengubah ketetapan sedia ada,” katanya.

Pada 1 dan 8 Oktober lalu, Datuk Bandar, Mohd Azizi Mohd Zain membuat pengumuman untuk memindahlan lokasi bazar berkenaan ke lokasi baru yang lebih luas dan turut menjadi tapak pasar lain termasuk Bazar Ramadan.

Sejak semalam, rakaman perbuatan samseng terhadap lawatan Pua ke tapak bazar baru itu tersebar luas melalui media sosial, malah sesetengah pihak menghasilkan poster palsu Pua bersikap anti-India sedangkan ia fitnah semata-mata.

Pada kenyataan media, hari ini, Pua berkata kepimpinan PKR Selangor patut mengambil tindakan untuk mengekang kelakuan samseng dalam kalangan ahli mereka, lantaran penukaran keputusan itu disebabkan penyerahan memorandum oleh ahli majlis dari PKR.

Beliau turut memberi jaminan kepada penduduk Kampung Sungai Way betapa wakil rakyat dan ahli majlis dari DAP sentiasa memberi perkhidmatan terbaik dan tegas dengan prinsip dan integriti tanpa berkompromi dengan perbuatan samseng mahupun amalan kronisme.