Berita

Tweet palsu nada perkauman fitnah Tony Pua

KUALA LUMPUR 21 OKT: Satu tweet menggunakan nama pengendali asal iaitu @Tonypua  diubah suai dan mengandungi perkataan bernada perkauman yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp, terang-terangan palsu dan berniat jahat.

Menyifatkan sebaran itu bertujuan memberi imej rasis kepadanya, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, beliau tidak pernah menggunakan perkataan ‘p*riah’ untuk merujuk mana-mana pihak termasuk kaum India.

Apatah lagi, Setiausaha Publisiti DAP yang mahir berbahasa Inggeris itu tidak mungkin tersilap tatabahasa apabila mengeja perkataan ‘threaten’ yang sepatutnya ditulis ‘threatened’ pada tweet berkenaan.
tweetpalsu

“Itu terang-terang palsu kerana pengguna twitter akan nampak penanda masa pada tweet itu dipadam,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau mengesyaki fitnah itu direka sebagai tindak balas apabila menggambarkan pihak tertentu yang menimbulkan kekecohan dalam isu pemindahan Bazar Deepavali di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini, sebagai samseng.

Sekalipun tidak tahu pihak yang mendalangi fitnah itu, Pua berjanji untuk terus berkhidmat dan menjalankan tanggungjawab kepada semua lapisan masyarakat tidak mengira kaum dan agama, tanpa gentar jauh sekali bersikap pilih kasih.

“Terima kasih kepada individu yang memaklumkan kewujudan imej palsu itu dan saya terharu kerana mereka terus memberi sokongan dan kepercayaan tanpa berbelah bagi,” katanya.