Berita

Azalina akui PM terima dana politik, siapa lagi ‘penderma’ Najib?

KUALA LUMPUR 28 OKT: Adakah SRC International Sdn Bhd bukan satu-satunya syarikat bukan kerajaan (GLC) yang ‘menderma’ kepada Datuk Seri Najib Razak untuk aktiviti politik Perdana Menteri itu?

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mempersoal hal itu berdasarkan jawapan bertulis Datuk Azalina Othman Said apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan Najib ada menerima dana untuk program politik selaku seorang Ahli Parlimen.

“Adakah ‘derma’ daripada SRC International itu sebahagian kecil dari dana yang diterima Najib? Jika benar, berapa banyak GLC menderma ke akaun peribadi Perdana Menteri itu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Teo Nie ChingMengikut Wall Street Journal pada 3 Julai 2015, siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesan aliran tunai RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd ke akaun personal Najib sejurus sebelum pilihan raya umum ke-13.

Azalina dalam jawapan bertulis menyatakan: “Sebagai Ahli Parlimen, Perdana Menteri ada menerima dana untuk aktiviti politik di kawasan beliau yang disalurkan untuk program politik, aktiviti sosial dan kemasyarakatan penduduk tempatan.”

Kesal kerana Perdana Menteri tidak memberi jawapan tepat, Nie Ching berkata, pentadbiran Najib perlu berhenti memberi alasan tidak munasabah jika benar tiada apa-apa mahu disorok berkaitan ‘derma’ berkenaan.

Menyifatkan jawapan Azalina membimbangkan dan menyalah guna kuasa apabila tidak menjawab soalan secara tepat, Nie Ching berkata, Najib sebagai Menteri Kewangan bertanggungjawab untuk melapor aktiviti GLC kepada Parlimen apabila isu dibangkitkan.