Berita

Isu draf pertuduhan rasuah Najib, PAC perlu panggil Gani Patail

KUALA LUMPUR 28 OKT: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu memanggil dua individu penting bagi memastikan kewujudan draf kertas pertuduhan rasuah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau sebaliknya.

Pada kenyataan media hari ini, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata dua individu itu ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, persoalan itu berbangkit berikutan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khamis lalu yang tidak menafi keaslian rajah aliran dana ke akaun Najib seperti didakwa bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

“Persoalan daripada kenyataan SPRM itu ialah sama ada terdapat draf kertas pertuduhan rasuah di Jabatan Peguam Negara terhadap Perdana Menteri sebelum Tan Sri Gani Patail dipecat pada 27 Julai?” katanya.

Kit Siang yang digantung dari menghadiri sidang Parlimen berikutan membangkitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  berkata demikian berikutan pelantikan Pengerusi baru PAC, Datuk Hassan Arifin semalam dan mereka dijadual mengadakan mesyuarat pertama Isnin ini selepas tiga bulan gagal melakukannya.

Bagaimanapun, katanya, PAC terlebih dahulu perlu menjadi contoh kepada Parlimen dengan setiap ahli mengisytihar sama ada mereka ada kepentingan kewangan dalam skandal RM50 bilion 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 ke akaun Najib.

“Menjadi pelanggaran peraturan Parlimen untuk bercakap mengenai sesuatu perkara tanpa mendedahkan sejauhmana kepentingan masing-masing dalam kedua-dua skandal berkenaan,” katanya.