Berita

1MDB: Kabinet Najib buat ‘pekak badak’ terhadap seruan Raja-raja Melayu

KUALA LUMPUR 29 OKT: DAP kesal berikutan Kabinet Najib mengambil sikap ‘pekak badak’ terhadap kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu skandal 1Malaysia Develompment Berhad (1MDB) diselesaikan segera dan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sesuatu yang luar biasa apabila Raja-raja Melayu membuat kenyataan 6 Oktober lalu dan menyifatkan ia sepatutnya menjadi topik utama perbahasan pada sidang Parlimen kali ini.

“Berapa kalikah Ahli Parlimen Umno-BN menyentuh atau merujuk kenyataan Raja-raja Melayu sepanjang sidang Parlimen kali ini?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Pada 6 Oktober lalu, Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas sewajarnya terhadap pihak terlibat.

“Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran,” kenyataan itu dipetik.

Kit Siang berkata, penafian Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menggunakan rangkaian media tempatan kononnya mereka tiada menyembunyikan apa-apa skandal membuktikan pentadbiran Najib tidak memandang serius kenyataan Raja-raja Melayu itu.

Malah, beliau kesal kerana Kabinet Najib menggunakan taktik gerila dalam Parlimen dengan tidak menjawab sebarang soalan berkaitan skandal 1MDB mahupun derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri sekalipun Parlimen sudah bersidang sejak dua minggu lalu.

Menyifatkan perbuatan itu sebagai ‘penjimatan kepada sebuah kebenaran’, beliau berkata, perbuatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azlina Othman itu sebenarnya menghina Parlimen apabila memberi alasan Perdana Menteri ada hak untuk memilih masa menjawab soalan mengenai 1MDB.