Berita

Sivakumar: Curi ikan dalam kolam kena reman 60 hari?

KUALA LUMPUR 28 OKT: DAP Perak mempertikai penggunaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang memperuntuk tempoh reman hingga 60 hari terhadap kes jenayah kecil termasuk kejadian curi ikan dalam kolam.

Merujuk kes enam orang ditangkap kerana mencuri ikan dari kolam milik orang lain dan dua lagi kerana membeli ikan untuk dijual di pasar 2 Ogos lalu, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar bimbang wujud elemen salah guna kuasa dan rasuah.

Beliau hairan tempoh reman kes seumpama itu mencecah 21 hari dan ditambah 38 hari lagi tanpa saspek tidak diberi ruang membela diri sebelum akhirnya tujuh daripada mereka dibuang daerah manakala seorang dibuang negeri.

“Kenapa kes curi ikan tidak disiasat mengikut Kanun Keseksaan? Bukankah kanun itu lebih relevan dan patut diguna pakai bagi kes seperti itu?

“Kenapa polis begitu bersemangat menyiasat kes curi ikan yang tidak ada laporan polis sedangkan banyak aduan yang polis tidak diambil apa-apa tindakan?” katanya pada kenyatan media, hari ini.

V SivakumarBerdasarkan jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri di Parlimen, Sivakumar berkata seramai 975 orang ditangkap mengikut POCA walaupun kerajaan berjanji hanya kes serius disiasat menggunakan akta itu tetapi sebaliknya berlaku.

Beliau juga menyifatkan POCA sebagai undang-undang zalim dan harus dipinda kerana tidak berlaku adil kepada saspek yang tidak boleh diwakili peguam bela, malah tidak akan didakwa di mahkamah.

“Siasatan dibuat pegawai penyiasat dalam tempoh maksimum 60 hari. Pendakwa raya kemudian akan mengadakan temu bual dengan saspek berdasarkan laporan pegawai penyiasat itu.

“Ini tidak adil kerana nasib saspek terletak di tangan pegawai penyiasat. Apa guna ada Kanun Keseksaan dan undang-undang lain jika polis menggunakan jalan pintas untuk menangkap seseorang melalui POCA?

“Jika bersalahpun, biarlah mahkamah mendengar kes dan menjatuhkan hukuman. Ini penting untuk menjamin hak asasi dan berkeperimanusiaan,” katanya yang turut bersimpati terhadap keluarga saspek yang dihukum menggunakan akta itu.