Berita

GST: Jawapan Parlimen bongkar pembohongan Najib, Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR 9 NOV: Pembohongan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkaitan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terbongkar secara tidak sengaja.

Ia berikutan jawapan bertulis Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin kepada soalan Parlimen berlawanan dengan kenyataan mereka sebelum ini.

Teo Nie ChingAhli Parlimen Kulai, Teo Nie Chieng, berkata jawapan bertarikh 21 Oktober lalu itu menyatakan 70 peratus barangan dan perkhidmatan di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak mengalami kenaikan akibat pengenalan GST.

Sedangkan, katanya Najib pada pembentangan Bajet 2015 menyatakan hanya 56 peratus daripada 532 item dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus dan hanya 354 barangan naik harga tetapi kurang 5.8 peratus.

Beliau berkata, Ahmad Maslan pada Mei tahun lalu pula memberi jaminan tiada kenaikan terhadap 48 peratus barangan manakala 42 peratus barangan lagi dijangka turun, hanya 10 peratus mencatat peningkatan harga.

GST“Daripada 446 barangan, harga 350 barangan di Semenanjung, Sarawak (283) dan Sabah (304) naik. Hanya 82 barangan dan perkhidmatan di Semenanjang, Sarawak (128) dan Sabah (109) mencatat penurunan harga,” katanya merujuk jawapan Hamzah.

Pada kenyataan media hari ini, Nie Chieng kesal kerana Ahli Parlimen pembangkang berulang kali mengingatkan Najib supaya tidak memandang ringan kesan negatif pelaksanaan GST kepada rakyat tetapi langsung tidak diendah.

“Malah, pembangkang pula dituduh memutar belit isu GST. Akhirnya, jelaslah pembohong sebenar adalah Najib, bukan kita,” katanya.

Persoalannya, kata beliau, sama ada Najib sanggup mengakui kesilapannya dan melaksanakan Belanjawan Alternatif yang dirangka Pakatan Harapan dengan memansuh GST berikutan rakyat sedia kala dibebani kenaikan kadar tol dan kejatuhan nilai ringgit.