Berita

1MDB jual tanah kepada China, DAP pula dipersalah

KUALA LUMPUR 4 JAN: Tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjual sejumlah kawasan bandar Malaysia kepada sebuah konsortium yang diketuai syarikat China sebaliknya DAP pula kerap difitnah mahu menjual negara.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata seinci demi seinci tanah dan kekayaan negara dijual mentah-mentah demi pulangan atas angin bagi menyelamatkan 1MDB yang sarat menanggung hutang.

“Lalu DAP pula yang sering didakwa mahu menjual negara?” katanya pada kenyataan media baru-baru ini, sambil menyifatkan perbuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu umpama aksi silap mata David Copperfield.

Sebelum ini, Najib mengumumkan keseluruhan 486 ekar bandar Malaysia dijual kepada sebuah konsortium yang diketuai sebuah syarikat China pada harga RM12.35 bilion.

Secara sinis, Lip Eng yang mencadangkan model perniagaan itu dijadikan topik wajib mahasiswa jurusan perniagaan, berkata, penjualan itu bermakna tanah berkenaan mencapai pulangan 31 kali ganda dalam tempoh pelaburan kurang dua tahun.

Hakikatnya, beliau berkata, hartanah milik negara yang luas, ditambah nilai tanpa sebarang bentuk usaha memajukannya, kemudian dijual kepada syarikat asing pada kadar pegangan yang tinggi.

“Rakyat kini tak sabar-sabar menanti sama ada kesaktian Najib itu akan memberi kesan serupa terhadap pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dengan nada menyindir. – Roketkini.com