Berita

Kerajaan digesa bersih dari korupsi, bukan sekat umat Islam berfikir

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Kerajaan Persekutuan sepatutnya menunjukkan teladan pemerintahan yang baik dengan mengamalkan pentadbiran bersih, cekap dan amanah sebelum cuba mengawal umat Islam dengan golongan liberal dan progresif daripada berkongsi idea mereka.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata kerajaan UMNO-BN sepatutnya berusaha gigih serta jujur memulihkan pengurusan kewangan institusi agama yang terpalit dengan pelbagai skandal kerana ia telah memalukan dan mencemar imej Islam.

Sehubungan itu, beliau mempersoal kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang menyatakan kerajaan akan memantau dan menapis penerbitan bercetak atau elektronik milik apa yang digelarnya “Islam liberal”.

“Sebelum bertindak sedemikian, kerajaan harus memastikan bahawa pengurusan dan pentadbiran institusi agama seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Lembaga Tabung Haji dijalankan secara telus dan amanah.

“Bagaimana mungkin sebuah kerajaan yang institusi agamanya didakwa dengan pelbagai skandal kewangan serta penyelewengan boleh terfikir mahu menyekat sesebuah kumpulan hanya kerana cara berfikir mereka berbeza?” katanya kepada Roketkini.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Jamil Khir di sidang Parlimen semalam bahawa kerajaan menganggap kumpulan Islam liberal sebagai sesat dan akan meningkatkan usaha bagi mempengaruhi mereka kembali kepada kepercayaan agama yang ditentukan oleh kerajaan UMNO-BN.

Menurut Zairil, adalah memalukan bagi umat Islam Malaysia apabila pihak berkuasa cuba mengawal pemikiran mereka sedangkan pentadbiran negara bergelumang dengan salah urus, korupsi dan salah guna kuasa.

“Lebih baik kerajaan menumpu perhatian kepada bagaimana menghapus amalan tidak telus dan pecah amanah dalam agensi kerajaan, terutama yang melibatkan hal ehwal Islam.

“Daripada terus mengaibkan nama agama dan negara ini, eloklah sekiranya kerajaan menyelesaikan isu-isu berkenaan terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Tabung Haji seperti dilapor media pernah didakwa membeli sebidang tanah pada harga RM188.5 juta daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditimbuni hutang, lantas memberikan keuntungan atas angin sebanyak RM184 juta kepada syarikat itu.

Badan NGO, National Oversight and Whistleblowers (NOW), pula mendedahkan wang YaPEIM berjumlah RM410,978.50 digunakan oleh seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri tahun lalu. – Roketkini.com