Berita

Guan Eng alu-alukan siasatan pantas SPRM terhadap tuduhan rasuah ke atasnya

GEORGE TOWN, 19 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengalu-alukan siasatan segera Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan fitnah melibatkan pembelian rumahnya konon mempunyai unsur rasuah dan kaitan dengan penjualan tanah di Taman Manggis.

“Saya ingin menggesa SPRM untuk segerakan siasatan kerana yakin bahawa tidak ada sebarang unsur amalan rasuah, dalam isu pembelian rumah saya yang cuba dikaitkan dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis,” katanya.

Menurutnya, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM walaupun hairan dengan respon agensi tersebut begitu cepat berbanding reaksi terhadap kes-kes lain.

Dalam satu kenyataan media, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tuduhan terhadap dirinya itu adalah satu fitnah jahat dan serangan politik kotor oleh pihak lawan berdasarkan lima faktor:

  • Pembelian rumah sebanyak RM2.8 juta dibiayai oleh pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan baki wang tunai RM700,000 daripada elaun pendapatan beliau sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat;
  • Penjualan tanah kerajaan negeri dijalankan dengan tender terbuka dan pembeli dipilih berdasarkan tawaran harga yang paling tinggi;
  • Jawatankuasa Tender Negeri tidak dipengerusikan oleh beliau dan mematuhi semua peraturan kerajaan negeri yang ditetapkan.
  • Penjual rumah kepada beliau tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi tender tanah kerajaan negeri, bukanlah pemegang saham ataupun ahli lembaga pengarah.
  • Ketua Bahagian UMNO Bagan Shaik Hussein Mydin pada 19 Ogos 2015 telah meminta maaf secara lisan kepada beliau di depan Hakim Mahkamah Tinggi sebanyak dua kali, dan menarik balik kenyataan fitnah di mahkamah bahawa Guan Eng terima wang rasuah daripada pembeli tanah kerajaan negeri tersebut.

Guan Eng turut hairan dengan kenyataan SPRM Pulau Pinang yang menyatakan bahawa SPRM pernah menjalankan siasatan sebelum ini berkaitan penyewaan rumah oleh beliau pada 2009.

“Sekiranya begitu, mengapakah SPRM tidak membuat pengumuman kepada orang awam sejak 2009 bahawa ia tidak berasas? Saya tidak pernah disoalsiasat oleh SPRM berkaitan dengan penyewaan rumah saya sebanyak RM5,000 sebulan sebelum saya membelinya.

“Hasilnya ialah tidak ada sebarang tindakan diambil (cause of action) ke atas saya. Saya menunggu siasatan baru oleh SPRM berkaitan dengan pembelian rumah saya, dengan penuh keyakinan bahawa ia akan dibuktikan sebagai sesuatu fitnah oleh musuh politik kerana kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran bersih sehingga dipuji oleh Transparency International atas pelaksanaan sistem tender terbuka,” jelas beliau. – Roketkini.com