Berita

Khairy harus jawab terperinci penyelewengan RM100 juta oleh pegawai kanan kementeriannya

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Mengesahkan sahaja bahawa pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan terlibat menyeleweng dana kerajaan lebih RM100 juta adalah tidak mencukupi, kata Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming.

Katanya, beliau tidak puas hati dengan jawapan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berhubung isu ‘songlap’ wang rakyat tersebut kerana tiada apa-apa maklumat yang jelas.

“Walaupun Khairy memberi jaminan bahawa pihak KBS akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak ada apa-apa penjelasan lanjut yang diberi mengenai proses penambahbaikan perbelanjaan KBS untuk mengelakkan perkara itu berlaku lagi,” katanya kepada Roketkini.

Sabtu lalu, SPRM mendedahkan bahawa seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian yang dipercayai dari KBS ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.

Menurut laporan media, pegawai berkenaan disyaki menjadi ‘mastermind’ dalam mengarahkan salah sebuah agensi kementerian berkenaan untuk membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor untuk program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.

Dalam sidang media di pejabatnya awal pagi tadi, Khairy berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM tetapi tidak mengulas lanjut mengenai langkah-langkah yang akan diambil KBS.

Justeru, Kian Ming yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor, membangkitkan ketelusan menteri berkenaan yang sebelum ini pernah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) pada Mei 2014, sekali gus mendesak supaya Khairy menjawab isu berkenaan dengan langkah penambahbaikan.

“Adakah CIP ini ditandatangani sebagai satu gimik ataupun langkah simbolik sahaja tetapi sebenarnya tidak ada apa-apa structural reform yang dilakukan untuk mematuhi semangat CIP?” katanya.

Beliau juga dalam satu kenyataannya mengemukakan beberapa persoalan berhubung isu penyelewengan berkenaan untuk dijawab Khairy, yang antaranya meminta supaya menteri berkenaan menjelaskan perubahan spesifik yang telah dilaksanakan KBS dalam urusan penganugerahan kontrak dalam sesebuah projek, selaras dengan komitmen kementerian berkenaan menandatangani CIP.

CIP adalah satu deklarasi oleh sesebuah organisasi korporat di Malaysia dalam mendukung usaha pencegahan rasuah di Malaysia dan antara prinsip yang termaktub dalam perjanjian berkenaan adalah komitmen sesebuah organisasi dalam pengukuhan kawalan dalaman yang menyokong pencegahan rasuah. – Roketkini.com