Berita

Mahkamah Persekutuan tiada hakim bukan-Bumiputera, hanya satu bukan-Muslim, dua wanita, tidak cermin Malaysia majmuk

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Tidak ada seorang hakim pun dari kalangan kaum bukan-Bumiputera dilantik untuk menduduki Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di negara ini, walaupun golongan itu mewakili satu pertiga jumlah penduduk Malaysia.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata daripada kesemua 12 hakim yang ada, kesemuanya adalah hakim Melayu Muslim kecuali seorang Bumiputera bukan-Muslim.

Ini bererti jika diambil kira status bukan-Islam pula, hanya ada seorang hakim sahaja daripada kalangan penganut agama lain walaupun mereka mewakili 40 jumlah penduduk Malaysia, jelas beliau.

Malah, menurutnya, kehadiran wanita di mahkamah tertinggi itu juga amat kecil dengan hanya dua hakim, iaitu perwakilan mereka kurang daripada 20%, sedangkan wanita mewakili separuh penduduk negara.

jadual zairil

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, keadaan berubah begitu cepat kerana pada 2009, satu pertiga atau 30% hakim Mahkamah Persekutuan adalah bukan-Muslim, manakala 23% adalah bukan-Bumiputera.

“Apakah yang telah berlaku sejak itu (2009) sehingga Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mendapati begitu sukar untuk melantik wanita, bukan-Bumiputera dan bukan-Muslim ke Mahkamah Persekutuan? Tak kan kerana tiada siapa yang layak,” ujar beliau.

Sedangkan, katanya, Mahkamah Rayuan, iaitu mahkamah kedua tertinggi selepas Mahkamah Persekutuan, yang mempunyai 23 hakim termasuk Presidennya, dilihat lebih adil perwakilannya.

Menurutnya, wanita mewakili 30% dengan lapan hakim manakala enam atau 26% adalah dari kalangan bukan-Bumiputera yang turut mewakili bukan-Islam dalam Mahkamah Rayuan.

“Walaupun agihannya belum adil sepenuhnya dan boleh diperbaiki, sekurang-kurangnya ia mencukupi buat masa ini untuk mewakili kaum majoriti dan minoriti,” tambah beliau.

Zairil menjelaskan, Mahkamah Persekutuan adalah ruang kehakiman dan tonggak keadilan tertinggi negara ini yang mesti selaras dengan demografi sosial Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian kaum, gender dan agama.

Katanya, mahkamah tertinggi negara yang sepatutnya dianggotai oleh intelek penegak undang-undang kini berhadapan dengan kekurangan keanggotaan dan penglibatan dari golongan minoriti yang besar.

Menurutnya, walaupun keperluan statutori Mahkamah Persekutuan telah dipenuhi seperti Ketua Hakim Negara, Ketua Juri Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, ia masih kurang dari segi kemajmukan gender, kaum dan agama.

Beliau berpendapat, kurangnya wanita sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, bersama dengan kurangnya hakim bukan-Bumiputera dan bukan-Muslim, telah memberi persepsi bahawa mahkamah di negara ini menjadi semakin konservatif dan bersifat patriarki, iaitu mengutamakan lelaki.

“Kebimbangan seperti itu telah menjadi semakin genting berikutan keputusan-keputusan mahkamah yang kontroversi dalam kes-kes yang menyentuh hal-ehwal Islam, seperti perebutan hak penjagaan anak di antara ibu bapa Muslim dan bukan-Muslim.

“Bukan sahaja keputusan-keputusan itu nampaknya seperti menyebelahi orang Muslim, ia juga nampaknya seperti menyebelahi lelaki,” tambah beliau.

Bagi mengelakkan ketidakadilan gender, kaum dan agama berikutan kurangnya kepelbagaian, Zairil berkata, penting bagi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk mengkaji segera komposisi mahkamah, terutamanya Mahkamah Persekutuan, yang dapat mencerminkan kemajmukan sebenar di Malaysia. -Roketkini.com