Berita

Krisis air Tawau: DAP kesal sikap sambil lewa kerajaan Sabah

TAWAU, 26 MAC: Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin UMNO-Barisan Nasional didakwa buntu dan tidak cekap dalam mencari langkah penyelesaian terhadap krisis air yang berlarutan di beberapa bahagian negeri Sabah, khususnya di daerah ini sejak sekian lama.

Pengerusi DAP Tawau, Chan Foong Hin, berkata, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan, tidak memberi maklumat secukupnya berhubung pembinaan empangan air Cinta Mata yang bakal menyelesaikan masalah air yang dihadapi ribuan penduduk daerah berkenaan jika ia dilaksanakan.

Katanya, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah hanya memaklumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sabah bahawa projek pembinaan empangan yang menelan belanja RM415 juta itu akan dilaksanakan pada akhir tahun ini, tanpa memberikan tarikh yang tepat.

“Apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan “akhir tahun ini”. Ia boleh jadi bila-bila masa dari sekarang. Lihatlah betapa tidak komitednya Menteri berkenaan terhadap projek terbabit yang menjadi satu-satunya jalan penyelesaian terhadap krisis air di Tawau,” katanya dalam satu kenyataan.

Kecewa dengan jawapan yang diberikan Pairin dalam sidang DUN Sabah berkenaan, Adun Sri Tanjong itu seterusnya meminta Menteri terbabit mengemukakan langkah-langkah alternatif yang boleh diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah tersebut.

“Pairin memaklumkan langkah pembenihan awan menelan kos yang tinggi malah tidak boleh menyelesaikan masalah berkenaan. Beliau juga ada bercakap mengenai loji penyahgaraman, salah satu jalan penyelesaian yang sedang difikirkan.

“Namun, tidak bolehkah beliau maklumkan kepada kami apa perancangan yang jelas dan telah ditetapkan untuk menghadapi fenomena El Nino yang mungkin akan tercetus selepas Julai?” soalnya.

Sehubungan itu, katanya, tindak tanduk kerajaan negeri yang memberikan pelbagai alasan serta tidak merangka sebarang jalan penyelesaian yang konkrit terhadap permasalahan terbabit membuktikan bahawa pihak pemerintah seolah-olah buntu untuk membantu rakyat.

Sebelum ini, Foong Hin telah mengemukakan lima tuntutan penting kepada kerajaan negeri yang antaranya menuntut supaya pembinaan empangan air Cinta Mata yang tertangguh sejak 20 tahun dilaksanakan secepat mungkin. – Roketkini.com