Berita

Kementerian Pertahanan wajar ambil alih tugas ESSCOM, tukar kepada sistem pemantauan automatik

KOTA KINABALU, 18 APRIL: Kerajaan dicadang menggantikan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan Sistem Pemantauan Automatik (AIS) dalam usaha membasmi secara tuntas kes-kes pencerobohan dan penculikan yang berlaku.

Setiausaha DAP Sabah, Junz Wong,  berkata rasional cadangan supaya ESSCOM dibubarkan kerana agensi itu gagal mencapai objektif dengan meningkatnya kes penculikan di perairan Sabah.

“Orang Sabah sudah bosan dengan alasan-alasan ESSCOM. Strukturnya sendiri tak berfungsi. Tiba masanya ESSCOM dibubarkan. Jangan terus menggasak ratusan juta ringgit ke dalam ESSCOM kerana sistemnya jelas tidak berfungsi dengan baik.

“Apabila sesuatu berlaku, ESSCOM hanya mengetahuinya beberapa jam kemudian seperti kes penculikan baru baru ini, dan ia bukan yang pertama kali,” katanya dalam sidang media di sini.

Merujuk kepada kes mendiang Bernard Then yang dibunuh lanun, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Likas itu berpandangan, insiden berlaku akibat kelemahan pemantauan keselamatan ESSCOM sehingga membolehkan penculik pergi ke bahagian darat, malah apa yang mengejutkan, kejadian berlaku semasa perintah berkurung dikuatkuasa.

Menurut Junz, insiden sebegini telah merosakkan imej dan membuktikan ESSCOM tidak cekap.

Ia juga hanya memperkukuhkan keyakinan bahawa pantai Timur Sabah tidak mempunyai asset ketenteraan yang baik dan ideal termasuk radar yang sesuai seperti AIS.

“Dengan meletakkan AIS di kawasan yang sesuai, ia akan  menjadikan pemantauan sempadan lebih mudah kerana sistem ini akan dapat mengesan sebarang bot pada masa yang tepat, dan bukannya bergantung kepada laporan polis daripada mangsa-mangsa lanun atau penculikan.

“Di bawah sistem itu, semua kapal yang masuk ke dalam Sabah perlu didaftarkan dengan pihak berkuasa Malaysia dan setiap kapal akan disediakan transponder, disambung secara langsung kepada satellite untuk mengesan dan memantau pergerakannya,” ujarnya.

Melalui sistem AIS, jelas Junz, mana-mana kapal yang tidak berdaftar, yang masuk dalam perairan Sabah akan dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan.

Dalam perkara berkaitan, beliau menambah, tindakan sesetengah pihak menyalahkan sistem perdagangan barter sebagai punca jenayah adalah tidak wajar.

“Sistem ini akan menjadikan pemantauan lebih cekap. Terdapat banyak peniaga sah yang hanya melakukan pekerjaan mereka setiap hari seperti pertukaran barter.

“Dengan AIS, bukan sahaja kita boleh membasmi ancaman luar, kita juga boleh menghapuskan kerja orang dalam dan membatalkan pengharaman ke atas sistem pertukaran barter dan perkhidmatan feri.

“Perdagangan barter tidak sepatutnya dipersalahkan atas jenayah rentas sempadan di perairan Sabah kerana masalah itu berlaku akibat ketiadaan asset ketenteraan yang canggih untuk mengatasi ancaman keselamatan di sempadan,” kata beliau.

Beliau berpandangan, Kementerian Pertahanan amat layak mengambil alih tugas ini supaya pihak berkuasa tertinggi boleh memberi arahan bekerjasama dan menyelaras sebarang pelan pertahanan dan serangan.

“Peruntukan kewangan yang diperuntukkan bagi ESSCOM perlu dipindahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan asset yang bertujuan untuk melindungi pantai Sabah yang luas.

“ESSCOM telah menerima lebih daripada separuh bilion ringgit dalam dana untuk memiliki aset dan sumber manusia, namun masih tidak dapat membendung peningkatan jenayah di laut terbuka,” katanya lagi. – Roketkini.com