Berita

Politik perkauman punca rasisme, bukan sekolah vernakular dan agama

IPOH, 21 APRIL: Sistem politik dan dasar yang berasaskan kaum serta penyebaran ucapan politik berbaur perkauman adalah punca utama rasisme di negara ini, kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kula Segaran.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat membidas dakwaan yang dilemparkan ahli akademik, Prof. Dr. Teo Kok Seong, yang menyifatkan sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini sebagai punca tercetusnya masalah perkauman.

“Mengapa beliau menyasarkan sekolah agama dan vernakular sedangkan beliau perlu melihat permasalahan utama dan yang lebih besar?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kok Seong dalam satu majlis di Shah Alam kelmarin berhubung perkaitan sekolah aliran vernakular dan agama dengan masalah rasisme di negara ini.

Kok Seong yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seperti yang dilaporkan media menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan melaksanakan sistem sekolah satu aliran dengan mengambil semangat 1Malaysia kononnya bagi mengatasi masalah rasisme di negara ini.

Menurut Kula, Kok Seong gagal melihat gambar menyeluruh kerana penghapusan sekolah aliran vernakular tidak akan membantu menyelesaikan masalah rasisme di kalangan rakyat, sebaliknya, boleh mengakibatkan rakyat terus berpecah-belah.

“Bahasa tidak menjadikan seorang itu rasis, malah bahasa tidak memecahbelahkan rakyat. Penyokong sekolah satu aliran seperti Teo seharusnya berhenti menyalahkan sekolah vernakular sebagai punca kepada kurangnya perpaduan atau punca kepada masalah rasisme,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Kok Seong bahawa hak untuk mempelajari dan mengamalkan bahasa ibunda adalah dilindungi Perlembagaan, justeru pensyarah berkenaan harus menghormati hak setiap rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. – Roketkini.com