Berita

Pakatan Harapan Perak mahu satu lawan satu di Kuala Kangsar, Sungai Besar

IPOH, 14 MEI: Pakatan Harapan Perak memutuskan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada 18 Jun dapat dilaksanakan.

Malah, Pakatan Harapan Perak sanggup berkorban untuk memberi laluan kepada PAS meletakkan calonnya di salah satu kerusi demi memastikan kemenangan untuk rakyat dapat dicapai pada hari keputusan PRK nanti.

Dua kerusi Parlimen kosong setelah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon meninggal dunia dalam tragedi malang nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak Khamis minggu lalu yang turut melibatkan empat lagi individu.

Menurut pimpinan Pakatan Harapan Perak, mereka bersedia untuk bertanding satu kerusi sahaja dan rela memberi peluang kepada PAS untuk bertanding di kerusi yang satu lagi.

“Cadangan sedemikian adalah bukti keikhlasan Pakatan Harapan untuk memastikan satu lawan satu dalam dua PRK pada 18 Jun depan,” kata kenyataan bersama pimpinan Pakatan Harapan Perak hari ini.

Pakatan Harapan Perak turut berjanji akan menggerakkan semua jentera pilihanraya parti masing-masing untuk memastikan kemenangan rakan dalam Pakatan, jika wakil mereka diberi peluang untuk bertanding di salah sebuah kawasan yang dipertandingkan.

“Sebagai persiapan menghadapi PRK pada 18 Jun nanti, Pakatan Harapan Perak telah menubuhkan jawatankuasa kerja PRK Kuala Kangsar yang dipengerusikan oleh Ketua pembangkang dewan undangan negeri Perak, YB Dato Seri Ir Mohd Nizar bin Jamaluddin dan anggota jawatankuasa tersebut termasuk Ahli parlimen Lumut, YB Laksamana Imran (PKR) dan ADUN Tronoh YB Yong Choo Kiong (DAP),” kata kenyataan itu lagi.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar manakala Parlimen Sungai Besar memiliki 42,655 pengundi berdaftar.

Dalam pilihanraya umum ke-13 lalu, calon Barisan Nasional (BN) telah menewaskan calon PAS dengan majoriti tipis 399 undi bagi Parlimen Sungai Besar. Bagi Parlimen Kuala Kangsar pula, calon PAS dan Bebas ditewaskan BN dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya dalam mesyuarat khasnya hari ini telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, dan hari pengundian 18 Jun, manakala tarikh pengundian awal pula ialah pada 14 Jun. – Roketkini.com