Berita

Larangan aktivis Bersih ke luar negara tindakan kerajaan berniat jahat, kata Tony Pua

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, bahawa kerajaan tidak perlu memberi sebab untuk menghalang Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, ke luar negara adalah angkuh dan bersifat salah guna kuasa.

Maria Chin perlu ke Korea Selatan kelmarin untuk menerima anugerah berprestij Hak Asasi Manusia Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju yang pernah dianugerahkan kepada Aung Sang Suu Kyi dan Xanana Gusmao (Perdana Menteri Pertama Timor Leste).

“Mengapa kerajaan tidak halang sahaja seluruh rakyat Malaysia untuk ke luar negara memandangkan mereka tidak perlu memberi sebarang sebab di bawah Akta Imigresen?” soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee.

Menurutnya, hanya kerajaan yang berniat menyalahgunakan kuasa sahaja bertindak begitu terhadap pengkritik mereka.

“Saya amat kecewa Datur Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara membuat keputusan bahawa kerajaan tidak perlu untuk telus dan bertanggungjawab melaksanakan kuasanya.

“Walaupun undang-undang memberikan hak kepada kerajaan untuk menggunakan kuasa yang ada, pertimbangan perlu dibuat dengan memberikan sebab yang munasabah, dan ia tidak bermaksud untuk disalahgunakan,” jelas beliau.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu yang turut dilarang meninggalkan Malaysia sejak 24 Julai 2015 berkata, kerajaan dan Pengarah Imigresen juga enggan memberikan sebarang sebab mengapa beliau (Tony) tidak dibenarkan ke luar negara.

“Hanya setelah keputusan itu dicabar di mahkamah, Pengarah Imigresen memberikan affidavit yang menyatakan perjalanan saya dihadkan kerana saya di bawah pemantauan polis yang kononnya menjalankan ‘aktiviti yang mengancam demokrasi berparlimen’ yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan 20 tahun penjara.

“Namun, saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan polis sebagai saksi dan tidak pernah dimaklumkan mana-mana pihak bahawa saya adalah suspek,” jelas beliau. – Roketkini.com