Berita

DAP gesa polis siasat segera semua individu yang dikaitkan skandal 1MDB

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Polis digesa mempercepatkan siasatan terhadap individu-individu yang dikaitkan dengan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang telah didedahkan di dalam laporan akhir Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) enam minggu lalu.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata langkah itu perlu diambil segera bagi memastikan dalang skandal kewangan RM50 bilion syarikat terbabit dihadapkan ke muka pengadilan, sekaligus memberikan tanggapan yang positif terhadap gerak kerja institusi kerajaan berkenaan.

Katanya, semalam, dalam satu wawancara oleh media Singapura, Channel News Asia, Ketua Audit Negara (AG), Tan Sri Ambrin Buang, telah memaklumkan bahawa laporannya berkaitan 1MDB mempunyai asas yang mencukupi untuk siasatan terhadap syarikat milik penuh Kementerian Kewangan berkenaan dapat dilakukan.

Menurutnya, Ambrin dilaporkan berkata: “Langkah selanjutnya seperti yang disyorkan oleh PAC, mereka mahu siasatan dilakukan terhadap beberapa individu tertentu di dalam syarikat berkenaan, biar polis melakukan kerja mereka, kami akan membantu mana-mana pihak yang ingin melakukan siasatan”.

Bilionair Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Halmi adalah antara individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB seperti dalam laporan akhir PAC. Bagaimanapun, sejak laporan akhir PAC dibentangkan di Parlimen pada 7 April yang lalu, polis masih belum memanggil individu-individu terbabit untuk disoal siasat.

Tony mendakwa, Shahrol telah mengarahkan 1MDB dengan kapasitinya sebagai CEO untuk membayar US$1.03 bilion kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang disahkan Bank Negara Malaysia dan telah dimaklumkan kepada PAC sebagai “sebuah syarikat yang dimiliki oleh individu yang tidak ada kaitan dengan Petrosaudi International Limited”.

Petrosaudi International Limited, syarikat yang menjalinkan usaha sama pelaburan dengan 1MDB, bagaimanapun tidak mengulas mengenai status Good Star Limited yang didakwa mempunyai perkaitan dengan anak-anak syarikatnya.

“Kini PAC dan Ketua Audit Negara telah mengaitkan Datuk Shahrol Halmi dengan salah urus tadbir 1MDB, apa lagi yang ditunggu Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar?” soal Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, kegagalan polis untuk bertindak, dan ironi kepantasan siasatan luar negara hanya akan mengakibatkan rakyat Malaysia membuat kesimpulan bahawa mereka (polis) dengan seboleh-bolehnya cuba untuk menutup jenayah yang melibatkan tokoh-tokoh politik berkuasa di negara ini – Roketkini.com