Rencana

Mengenang P. Patto: Tokoh pejuang rakyat marhaen, disegani kawan dan lawan

Orang tidak kisah datang dari jauh untuk mendengar pidatonya. Dengan kebolehan bercakap Melayu dan Inggeris, serta fasih dalam dialek Kantonis, Mandarin dan Hokkien, beliau mendapat tempat di hati masyarakat khususnya golongan petani, nelayan dan guru.

Namun, serangan jantung mengejut pagi Rabu 12 Julai 1995 itu memberi kesan mendalam buat ahli keluarga, sahabat handai, teman seperjuangan dan negara. Telah sampai waktu P. Patto pergi selama-lamanya. Kematiannya  diratapi. Beliau tidak meninggalkan harta yang membukit seperti orang lain. Beliau tidak kaya luar biasa apalagi menyalahguna kuasa. Yang ditinggal hanyalah iltizam yang tinggi untuk menjadikan Malaysia, tempat yang lebih baik buat anak segala bangsa.

P. Patto dikenali sebagai tokoh yang tegas membawa suara rakyat yang dipinggirkan. Genap 21 tahun beliau telah meninggalkan kita. Dengan sifat merendah diri tetapi tegas,  sosok ini disegani kawan dan lawan.

Mantan Timbalan Setiausaha Agung DAP, keberanian dan kelantangan P.Patto berjaya mengundang gelisah kerajaan, dan akhirnya pada 1978, beliau bersama Lim Kit Siang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mendedahkan skandal pembelian aset ketenteraan daripada Sweden bernilai RM9 juta melibatkan TLDM.  

Tidak terhenti di situ, beliau turut menjadi mangsa akta zalim itu sekali lagi dalam Operasi Lalang pada tahun 1987 dan dibebaskan dua tahun kemudian.

“Patto adalah manusia hebat yang penuh ghairah perjuangkan keadilan. Pemergian beliau sebagai seorang suami, ayah, pemimpin dan pahlawan demokrasi dan hak asasi manusia amat dirindui,” kata Lim Kit Siang dalam buku Justice For My Heart yang diterbitkan pada tahun 1996 sempena memperingati kematian P. Patto.

Saya tidak pernah bersua dengan almarhum. Tahun 1995, saya masih belajar membaca, mewarna dan mengira di sekolah rendah. Yang saya kenal waktu itu hanyalah dua tiga lambang parti-parti politik yang dipasang di tepi-tepi jalan; yang saya fikir tidak pernah kena-mengena dengan hidup saya.

Sehinggalah suatu petang 2012, saya bertemu dengan Kasthuri Patto dalam sebuah acara. Semangat juang P. Patto tumpah diwarisi anaknya Kasthuri. Saya panggil dia kakak pada waktu itu. “Jangan panggil kakak, panggil nama je,” kata Kasthuri sambil tersenyum.

Sewaktu ayahnya meninggal dunia, usia Kasthuri 15 tahun, manakala adiknya berusia 13 tahun.

“Teman-temannya menegurnya kerana terlalu kuat bekerja sehingga mengabaikan diri sendiri. Ada yang berkongsi saat-saat akhir mereka minum kopi dan makan nasi daun pisang bersama; bercerita tentang suka duka perjuangan; tidur atas lantai dalam pejabat sewaktu di Sabah; dan dianggap sebagai sebahagian dari ahli keluarga mereka.

“Ayah bekerja hanya untuk melihat negara ini menjadi lebih baik,” kata Kasthuri.

Apa yang amat mengharukan ketika itu ujar Kasthuri ialah kehadiran ribuan warga Malaysia pelbagai kaum untuk memberi penghormatan terakhir kepada tokoh disegani itu.

“Ayah seorang yang sangat berprinsip, kuat perjuangkan hak asasi dan nasib golongan terpinggir,” beliau berkata.

Maka tidak hairanlah, dengan kesungguhan memperjuangkan nasib rakyat, beliau terpilih sebagai ADUN bagi kawasan Gopeng di Perak, kemudian dalam pilihanraya 1982, beliau menang sebagai Ahli Parlimen Menglembu selama satu penggal dan penggal berikutnya beliau mewakili Parlimen Bagan di Pulau Pinang sehingga tahun 1990.

P. Patto adalah sosok yang sering menjadi tumpuan di mana sahaja beliau pergi. Menurut Kasthuri, beliau pernah melihat gambar ayahnya sedang berdiri di atas sebuah meja di Lawan Kuda, Gopeng Perak dalam sebuah ‘ceramah’  dan dikerumuni orang ramai yang bertepuk sorak mendengar pidatonya.

“Pada masa yang sama, saya juga kagum melihat foto ayah saya bersama pemimpin dan negarawan dunia di Geneva, Switzerland yang berada di sana untuk bercakap tentang tentangan dan tindakan keras terhadap kebebasan bersuara, berhimpun, kebebasan media dan agama.

“Saya juga pernah mendengar beberapa kisah dari tokoh-tokoh agamawan Islam bagaimana ayah merupakan seseorang yang memiliki rasa hormat yang tinggi kepada siapa jua, dan meraikan kepelbagaian budaya,” kata beliau.

Menurut Kasthuri, perjuangan ayahnya memerangi rasuah, perkauman, sikap taksub, zalim dan ketidakadilan perlu diteruskan.

“Saya pernah ditanya adakah saya boleh bercakap seperti ayah saya. Dengan rasa rendah diri saya bertanya kembali, bolehkah siapa juga bercakap seperti P. Patto?

“Orang mungkin melihat beliau sebagai seorang yang  idealis, tetapi saya lebih rela mengikuti impian seorang idealis untuk berjuang tanpa rasa lelah bagi mencapai apa yang termampu dari menjadi seorang pesimis yang suka mencemuh,” tegasnya.

Sudah 21 tahun P. Patto pergi. Sepanjang liku-liku perjuangannya, beliau hanya mahu melihat rakyat Malaysia bangun dan bersama tanpa rasa gentar untuk menentang kuasa yang berdiri di atas tirani, ketidakadilan, kebencian, diskriminasi dan pilih kasih.

“Beliau meninggal dunia sebagai seorang pejuang yang menyerahkan seluruh hidupnya demi perjuangan Malaysia untuk rakyat Malaysia demi generasi akan datang supaya dapat hidup bermaruah, berani dan penuh cinta,” ujar Kasthuri.

P. Patto, jasamu akan terus dikenang, perjuanganmu akan terus bersahut. Selamat buatmu komrad! – Roketkini.com