Berita

Sabotaj sistem imigresen perlukan perhatian serius kerajaan

BUKIT MERTAJAM, 13 JULAI: DAP bimbang dengan Sistem Pendaftaran dan Penguatkuasaan Warga Asing (NERS) berikutan laporan bahawa Sistem Imigresen Malaysia (MyImms) sebelum ini telah pernah disabotaj pihak tertentu.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menggesa kerajaan, terutama pihak polis untuk menjalankan siasatan serius dan memberi jawapan terperinci mengenai perkara itu.

“Saya telah meminta penjelasan daripada pihak kerajaan sejak 2014, namun tidak mendapat apa-apa jawapan.

“Sabotaj MyImms itu mungkin hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan sabotaj terhadap sistem imigresen negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sim menjelaskan, pada bulan lalu, lebih 100 individu dalam Jabatan Imigresen dikatakan terlibat dengan perbuatan mensabotaj sistem pengurusan imigresen berkomputer bagi memudahkan pelanggaran pelbagai undang-undang imigresen.

Namun, katanya, pihak berkuasa setakat ini tidak dapat menganggarkan jumlah sebenar individu yang masuk secara tidak sah ke dalam negara melalui sindiket tersebut.

“Wujud juga kemungkinan pengganas datang ke Malaysia melalui cara ini,” ujarnya.

Beliau sebelum ini telah menyatakan kebimbangan terhadap sistem NERS pada bulan Oktober 2014 dengan menyatakan bahawa ia mempunyai ‘percanggahan yang merisaukan.’

Katanya, NERS Sdn. Bhd. telah diberi konsesi selama 12 tahun sejak 1 Jun 2011 untuk merekod, memantau imigresen warga asing ke Malaysia serta mengeluarkan Pas Lawatan (Kerja Sementara) yang juga dikenali sebagai PLKS.

Bagi setiap PLKS yang dikeluarkan, kerajaan akan membayar sebanyak RM50 kepada NERS Sdn. Bhd.

Walau bagaimanapun,  Steven mendapati terdapat percanggahan yang tinggi dalam jumlah yang dibayar kerajaan kepada NERS berbanding jumlah PLKS yang dikeluarkan.

“Pada 2013, sebanyak 1,386,591 PLKS telah dikeluarkan. Oleh itu, berdasarkan yuran kontrak, kerajaan harus membayar RM69.3 juta kepada NERS untuk tahun itu.

“Namun, semakan dengan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013 menunjukkan bahawa kerajaan telah membayar kepada syarikat itu sebanyak RM105.2 juta,” katanya.

Menurutnya, situasi itu hanya mendedahkan dua perkara, iaitu sama ada kerajaan telah terlebih bayar sebanyak RM35.9 juta kepada NERS atau terdapat 718 ribu pendatang asing yang dibenarkan masuk ke negara ini melalui PLKS tetapi tidak direkodkan oleh Jabatan Imigresen. – Roketkini.com