Berita

Sistem Dwi-Parti: PAS perlu memilih, membangkang atau jadi lalang

IPOH, 15 JULAI: Hanya melalui sistem dua parti sahaja Barisan Nasional dapat ditewaskan seperti yang telah terbukti dalam dua pilihanraya umum lalu.

Penegasan ini dibuat Setiausaha Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY) Howard Lee Chuan How membidas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali yang berkata system dwi-parti amat mengelirukan.

Khairuddin sebelum ini dilaporkan berkata semalam sistem dwi-parti ternyata merosakkan kerana setiap parti akan memejam mata di atas kesilapan parti masing-masing serta akan mempertahankan kebatilan.

Beliau malah turut menuduh ‘banyak onar dalam DAP’ yang membahayakan kepada negara.

“Fitnah kononnya ‘banyak onar dalam DAP’ namun mereka (PAS) masih pejam mata semata-mata untuk menjaga Pakatan Rakyat, adalah sesuatu yang tidak wajar dituturkan setelah bertahun-tahun PAS dan DAP membina kerjasama dan persaudaraan di peringkat akar umbi,” kata beliau.

Menurut Adun Pasir Pinji itu dakwaan tersebut hanya memalukan PAS semula kerana kini parti Islam tersebut pula seolah-olah memejamkan mata terhadap segala skandal rasuah melibatkan Umno.

“Jika PAS yakin dengan fitnah terhadap DAP, dan ragu-ragu dengan kerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya sudah boleh meletakkan semua jawatan dalam kerajaan negeri Selangor,” ujar Howard yang juga Presiden IUSY.

Kata beliau, jika PAS terus bersikap mementingkan diri tanpa mempedulikan kepentingan rakyat dan negara, mereka akan dilihat condong kepada Umno untuk terus mengekalkan kekuasaannya yang sudah melebihi enam dekad.

Pun begitu, Howard mengulangi bahawa Pakatan Harapan sentiasa terbuka menyambut kerjasama mereka yang bersedia untuk sama-sama melakukan perubahan terhadap pemerintahan Barisan Nasional.

“Kita tidak akan buang masa dengan mereka yang tidak percaya dan menghormati harapan dan aspirasi seluruh rakyat Malaysia, dan hanya mementingkan kepentingan pihak atau golongan tertentu sahaja,” tambahnya. – Roketkini.com