Rencana

Al-Kisah Melayu dan DAP (Bahagian 1)

Sudah menjadi kebiasaan acapkali DAP diuar-uarkan sebagai parti orang Cina yang hanya menjaga kepentingan orang Cina, malah juga anti kepada orang Melayu dan Islam.

Walaupun segala tuduhan sedemikian lazimnya dibuktikan salah di mahkamah, dan sejumlah ganti rugi yang besar sudah pun dikutip daripada sekalian pemfitnah – biasanya Utusan Malaysia dan angkatan yang sewaktu dengannya, tohmahan yang sama masih lagi diulangi bagai perakam pita yang dipasang pada “loop.”

Barangkali pemerintah mengambil iktibar daripada ketua propaganda Nazi, Joseph Goebbels, yang mengutarakan pendapat bahawa “sesuatu pembohongan yang besar itu jika diulangi tanpa henti, lama-lama ia akan dipercayai.”

Hakikatnya, DAP tidak pernah anti kepada mana-mana kaum atau agama. Malah, perilaku sebegitu bercanggah dengan sanubari parti yang ditubuhkan pada tahun 1966 atas dasar “prinsip kesaksamaan kaum, keadilan sosial dan ekonomi, serta berteraskan institusi demokrasi berparlimen,” sepertimana yang tertera dalam Deklarasi Setapak pada tahun 1967.

Hakikatnya, sepanjang sejarah parti, DAP dibuktikan hanya anti kepada ketidakadilan, kezaliman, penyelewengan dan rasuah – tanpa mengira kaum atau agama pelaku. Apa tidaknya, apabila pemimpin tertinggi DAP sendiri pernah dipenjarakan kerana mempertahankan martabat seorang gadis melayu yang diperkosa.

DAP diasas dan diperjuangkan oleh semua kaum termasuk Melayu

DAP sering dianggap sebagai parti Cina, jika tidak pun parti bukan Melayu. Namun begitu, sebenarnya penglibatan Melayu dalam DAP telah bermula sedari awal penubuhannya pada tahun 1966.

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pertama DAP, umpamanya, diwakili dua orang Melayu daripada 14 orang ahli, iaitu Daing Ibrahim Othman dan Mohd Nor Jettey. Sehingga kini, masih terdapat pemimpin Melayu dalam badan induk parti, bersama dengan kaum-kaum lain.

Lebih penting lagi, DAP juga secara konsisten memberi peluang kepada pemimpin Melayu dalam parti. Pada tahun 1967, setahun selepas penubuhan parti, Daing Ibrahim telah dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tampoi di Johor.

Pilihan raya umum yang berlangsung pada tahun 1969 pula menyaksikan pencalonan sembilan ahli Melayu yang bertanding di satu kerusi Parlimen dan sembilan kerusi DUN. Akhirnya, dua daripada mereka berjaya menang, iaitu Ibrahim Singgeh bagi DUN Tapah Road di Perak dan Hassan Ahmad bagi DUN Si Rusa di Negeri Sembilan.

Pada pilihan raya umum seterusnya pada tahun 1974, DAP telah meletakkan calon Melayu di 38 daripada 160 kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi. Sekali lagi, dua kemenangan telah dicatatkan, kali ini dalam DUN Perak dengan Daing Ibrahim di DUN Pasir Puteh dan Mohd Salleh Nakhoda Itam di Guntong.

Didorong oleh kejayaan dua calon Melayu serta kemenangan sejumlah 10 kerusi di DUN Perak, DAP mengatur langkah untuk percubaan berani di Perak pada pilihan raya umum 1978 dengan meletakkan 41 calon DUN di negeri tersebut, di mana 25 daripadanya merupakan orang Melayu. Secara keseluruhan, hampir satu pertiga atau 57 daripada 180 kerusi Parlimen dan DUN telah dipertandingkan oleh calon Melayu DAP. Namun begitu, hanya seorang sahaja yang berjaya, iaitu Salleh Nakhoda yang mempertahankan kerusi Guntong.

Pada tahun 1982, DAP meletakkan 25 calon Melayu dalam pilihan raya umum yang telah menyaksikan kemenangan Mohd Fadzlan Yahaya di DUN Pasir Bedamar, Perak. Fadzlan kemudian menjadi wakil rakyat Melayu DAP yang paling lama berkhidmat apabila berjaya menang dalam dua pilihan raya umum seterusnya pada tahun 1986 dan 1990.

Dalam pilihan raya umum 1990, DAP juga mencatat kemenangan calon Melayu yang paling ramai dalam sejarahnya, iaitu tiga orang termasuk Ahli Parlimen Melayu pertama, Ahmad Nor di kerusi Bayan Baru, Pulau Pinang. Selain Ahmad Nor, calon Melayu lain yang berjaya adalah Mohd Asri Othman bagi DUN Dermawan di Perak dan Fadzlan Yahaya yang kali ini bertanding di kerusi DUN Lahat, Perak.

Pada masa kini, DAP bukan sahaja memiliki pemimpin Melayu dalam badan tertinggi, iaitu CEC, malah buat kali pertama dalam sejarah parti terdapat wakil Melayu di setiap peringkat legislatif negara. Di Dewan Negara, DAP diwakili oleh Senator Dr Ariffin Omar, manakala DAP mempunyai dua orang ahli Dewan Rakyat, iaitu Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Raub Dato’ Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz. Manakala di peringkat DUN pula, DAP diwakili Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, iaitu Adun Mentakab merangkap Ketua Pembangkang Pahang. Sementara itu, DAP juga mempunyai wakil-wakil di peringkat kerajaan tempatan di Selangor dan Pulau Pinang.

Hakikat yang lebih penting adalah bahawa pemilihan dan dokongan kepimpinan Melayu dalam DAP bukanlah berdasarkan warna kulit atau kepentingan peribadi tetapi kebolehan dan kemampuan untuk melaksanakan amanah. Atas sikap inilah DAP kini berjaya menarik bukan sahaja ramai anak muda, malahan tokoh-tokoh besar negara seperti Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari dan beberapa lagi cendekiawan dan ahli akademik Melayu untuk menyertai parti.  – Roketkini.com

*Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Bahagian 2

Bahagian Akhir