Berita

Rakyat Pulau Pinang tidak akan mudah termakan fitnah dan kembali ke pangkuan BN

GEORGE TOWN, 5 SEP: Walaupun media yang dikawal Barisan Nasional terus cuba memburukkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, rakyat negeri pimpinan Pakatan Harapan itu tidak akan termakan dengan pujukan jahat dan kembali ke pangkuan parti tersebut.

Demikian penegasan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya, menyifatkan kempen BN untuk merampas kembali negeri Pulau Mutiara itu dengan cara fitnah jahat ibarat anjing menyalak bukit.

Guan Eng menegaskan, dakwaan memburuk-burukkan Kerajaan Pulau Pinang melibatkan individu tertentu melibatkan kelulusan permohonan rumah menggunakan “duit kopi” adalah tidak benar dan fitnah sama sekali.

Menurut beliau Pulau Pinang mengamalkan dasar yang ketat dalam permohonan perumahan negeri itu dan hanya individu yang benar-benar layak sahaja diluluskan.

“BN tidak mahu menyebut bahawa pihak yang didakwa membayar “duit kopi” tidak berjaya diluluskan rumah kos sederhana rendah oleh kerajaan negeri kerana mereka tidak layak,” jelas beliau.

Tegas Guan Eng, perkara itu jelas membuktikan prosedur kerajaan Pulau Pinang telus dan berkesan untuk memastikan hanya yang benar-benar layak akan berjaya mendapat rumah.

“Mana ada kes rasuah kerajaan negeri bila yang dakwa membayar “duit kopi” tidak dapat rumah?

“Yang ada kes jenayah ialah kes penipuan di antara individu perseorangan yang membayar dan menerima wang,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kes melibatkan ayah kepada Adun Sungai Pinang Lim Siew Khim yang didakwa kononnya meminta “duit kopi” bagi mempermudahkan urusan permohonan rumah.

“Di sini pihak yang mendakwa membayar duit kopi kepada ayah Lim Siew Khim tidak pula dapat rumah, dan pembayar duit kopi harus buat laporan polis ke atas mereka yang buat penipuan,” soalnya.

“Fitnah jahat ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang ini ialah seperti anjing menyalak bukit dan tidak akan menutup skandal rasuah terbesar di dunia, sehingga Amerika Syarikat bertindak merampas USD1 bilion aset mereka yang terlibat dengan 1MDB,” ujarnya.

Kontroversi ‘United Buddy Bears’

Serangan lain terhadap Kerajaan Negeri termasuklah tindakan UMNO mempolitikkan agama Islam dengan mengecam pameran “United Buddy Bears” yang sedang berlangsung di Padang Kota Lama.

Penganjur pameran ‘United Buddy Bears’ telah bertindak mengeluarkan dua patung berkenaan yang mempamerkan hadis dalam tulisan Arab di bahagian bontot arca beruang terbabit bagi mengelak sebarang kontroversi.

“UMNO mendakwa kerajaan negeri tidak menghormati Islam kerana dua beruang ada tulisan Arab berkaitan dengan Islam.

“Akan tetapi beruang yang sama telah dipamerkan di Kuala Lumpur bila United Buddy Bears datang kali pertama di Malaysia pada 2011,” jelas Setiausaha Agung DAP itu.

“Mengapa UMNO tidak membantah dan mengecam kerajaan persekutuan kerana membenarkan pameran United Buddy Bears di Kuala Lumpur pada masa itu?” soalnya.

“Janganlah ingat rakyat begitu bodoh sehingga percaya fitnah jahat BN bahawa BN adalah parti bersih sedangkan Pakatan dan DAP adalah yang korup.

“Ini bukan macam kes “lembu dan kondo” Ketua Wanita UMNO kerana akhirnya suami beliau dapat kontrak ternak lembu ratusan juta, yang menyebabkan kerugian puluhan juta kepada rakyat,” tempelak beliau. -Roketkini.com