Berita

Projek Taman Tugu lebih penting dari pendidikan dan kesihatan rakyat?

KUCHING, 8 SEP: Adakah projek Taman Tugu bernilai RM650 juta lebih penting daripada meningkatkan kualiti pendidikan dan kesihatan rakyat di negara ini?

Demikian persoalan yang dilontarkan Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP Petra Jaya, Abdul Aziz Isa berhubung pelancaran projek Taman Tugu di ibu kota oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Menurutnya, projek berkenaan adalah tidak diperlukan ketika peruntukan bagi sektor pendidikan dan kesihatan dipotong dalam Belanjawan 2016 yang lalu, kononnya disebabkan langkah penjimatan oleh kerajaan.

“Amat mengarut dan tidak masuk akal apabila kerajaan memotong belanjawan bagi kedua-dua sektor itu tetapi pada masa yang sama, melancarkan projek Taman Tugu yang dianggarkan berjumlah RM650 juta.

“Apakah keutamaan sebenar pemimpin Barisan Nasional hari ini?” soalnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bahawa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami pemotongan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion manakala peruntukan untuk Kementerian Kesihatan pula akan dikurangkan sebanyak RM253 juta hingga RM300 juta.

Aziz berkata, pemotongan belanjawan tersebut telah memberi kesan kepada penyelidikan serta kajian oleh golongan cerdik pandai di negara ini sehingga menjejaskan mutu kehidupan rakyat.

“Sebagai contoh, para penyelidik tidak dapat menjalankan penyelidikan berhubung virus Zika. Bagaimana pihak kerajaan mahu meningkatkan keberkesanan dalam sektor kesihatan pada semua peringkat jika peruntukan dipotong?”

Tambahnya, kerajaan telah mengutip lebih daripada RM30 bilion hasil pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak tahun lalu, justeru tidak ada sebab lagi untuk kerajaan memotong peruntukan yang memberi kesan kepada kualiti hidup masyarakat negara ini.

“Duit hasil kutipan GST itu patut digunakan untuk menampung kos operasi perkhidmatan kesihatan, membina hospital dan klinik di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, menangani wabak Zika dan Ebola, serta menaikkan gaji kakitangan hospital dan klinik awam,” ujar Aziz.

“Pemotongan peruntukan khidmat kesihatan ini memberi kesan yang besar kepada golongan berpendapatan rendah dan pesara yang tidak mampu mendapatkan khidmat kesihatan swasta.

“Rakyat sengsara akibat perkara ini tetapi kerajaan sewenang-wenangnya menggunakan dana awam untuk projek Taman Tugu,” luahnya, kesal. – Roketkini.com