Berita

1MDB: Najib digesa bawa usul bersihkan nama negara di Parlimen

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kerajaan UMNO dicadang supaya membawa usul bagi menyangkal dan membongkar dakwaan pihak antarabangsa bahawa Malaysia telah menjadi kleptokrasi global di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, masih tidak terlambat untuk Najib dan kabinetnya mengemukakan usul berkenaan pada hari pertama pembentangan Bajet 2017 yang dijadualkan berlangsung Isnin depan.

“Saya mencadangkan agar Najib mengadakan mesyuarat tergempar Kabinet supaya beliau boleh membawa usul pada hari pertama sidang Parlimen untuk membongkar dan menyangkal dakwaan berat bahawa Malaysia telah menjadi kleptokrasi global di bawah pentadbiran beliau.

“Ia juga khusus untuk menyangkal semua konotasi negatif “Malaysian Official 1” (MO1) yang dikaitkan dengan Najib dalam tuntutan mahkamah Jabatan Keadialan (DOJ) Amerika Syarikat untuk menyita AS$1 billion dana terkait 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Melainkan Najib mahu menjadi sasaran mudah kepada semua dakwaan yang ditimbulkan antarabangsa mengenai penyelewengan dan pengubahan wang haram-bilion ringgit dana 1MDB terhadap beliau,” tambah Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Sekurang-kurangnya tujuh buah negara sedang menyiasat penyelwengan dana syarikat milik penuh kerajaan Malaysia itu.

Pihak berkuasa Singapura seperti yang dilaporkan media baru-baru ini dalam proses mendakwa dua bekas pegawai kanan Bank Limited yang berpangkalan di Singapura atas kesalahan pemalsuan dokumen dan kegagalan mendedahkan trasaksi melibatkan 1MDB.

Kerajaan Switzerland juga sekali lagi meminta supaya kerjaaan Malaysia memberikan kerjasama dalam siasatannya terhadap 1MDB selepas Jabatan Peguam negara itu menemui bukti baru melibatkan SRC International, anak syarikat itu 1MDB. – Roketkini.com