Berita

17 bulan pelaksanaan GST, kenapa harga kereta masih tidak turun?

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sudah 17 bulan berlalu, namun harga kereta yang didakwa oleh kerajaan akan menurun selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak turun, malah semakin melonjak naik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kg Tunku, Lau Weng San berkata hal itu berdasarkan semakan harga kasar yang dibuat terhadap beberapa model dan jenama kereta popular di pasaran Malaysia sebelum dan selepas GST dilaksanakan.

“Mengikut laporan-laporan media sebelum GST, ramai pihak seperti pengeluar kereta, Jabatan Kastam dan Institut Automotif Malaysia menyatakan harga kereta akan turun sekurang-kurangnya 3 peratus selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diganti dengan GST.

“Tapi menurut pemerhatian saya, para pengguna tidak merasakan apa-apa kesan, malah akhirnya tertipu dengan dakwaan bahawa harga kereta akan turun,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengambil contoh harga kereta Proton Saga 1.3 MT sebelum dan selepas pelaksanaan cukai GST.

“Contohnya, dahulu ramai pihak mendakwa harga Proton Saga 1.3 MT dengan insurans adalah RM34,000 sebelum GST dan RM33,242 selepas GST.

“Hari ini, jika kita buka laman web Proton, sebuah Proton Saga baru berharga RM36,800!” katanya.

Menurut Weng San, perkara sama juga berlaku kepada Honda Jazz 1.5S dan Toyota Vios 1.5J MJT yang kini masing-masing berharga RM76,100 dan RM76,500.

“Barangkali kenaikan harga ini disebabkan oleh spesifikasi, model, variasi dan edisi kenderaan yang diubah dan ini menjadi alasan untuk pengeluar kereta menaikkan harga kereta.

“Apapun, fakta ini membuktikan dakwaan bahawa harga kereta akan turun seperti didakwa kerajaan sebelum GST dilaksanakan adalah tidak benar,” tegasnya.

Beliau menambah, kenyataan kononnya harga kereta akan menurun itu cuma dibuat kerana kerajaan Barisan Nasional terdesak dan memerlukan satu alasan bagi menyakinkan orang ramai untuk menerima cukai GST yang sebelum itu dibantah keras oleh rakyat.

“Jadi mereka menggunakan perbezaan SST 10 peratus dan GST 6 peratus untuk menerangkan hujah mereka. Tetapi lebih 17 bulan selepas cukai GST dilaksanakan, ia hanyalah satu cerita dongeng yang tidak akan tercapai,” katanya. – Roketkini.com