Berita

Mahasiswa tidak boleh berjiwa merdeka jika asyik ditahan pihak berkuasa

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Universiti di negara ini masih gagal menjadi medium dalam mendidik mahasiswa agar berjiwa merdeka, malah perjuangan mereka dalam mempertahankan hak rakyat disekat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata mahasiswa seharusnya dilayan sebagai watak penting dalam sistem demokrasi kerana suara mereka lahir dari pertimbangan akal dan ilmu.

Oleh itu, jelasnya, pelajar-pelajar universiti tidak wajar ditahan hanya kerana menyuarakan pandangan yang tidak selari dengan pihak kerajaan.

“Di mana-mana negara sekalipun, suara mahasiswa adalah suara yang perlu didengari dan diambil kira, bukan dihukum apatah lagi tangannya digari. Ini gila!

“Penahanan aktivis mahasiswa ini akan menyerlahkan lagi muslihat jahat pihak tertentu yang mahu menyekat rakyat dari terus bersuara,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Sheikh Omar berkata demikian ketika mengulas penahanan aktivis gabungan mahasiswa Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Ashraff Nazrin Noor Azman ketika siri jelajah Bersih 5 di Universiti Islam Antarabangsa semalam.

Sejurus selepas memberi salam pembukaan, Ashraff yang sepatutnya memberi ucapan pertama dalam siri jelajah Bersih itu terus ditahan oleh pihak keselamatan UIA sebelum digari oleh pihak polis dan dibawa ke Balai Polis Gombak.

Menurut Sheikh Omar, tindakan pihak berkuasa tersebut seperti menafikan hak kebebasan berhimpun dan bersuara yang dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Saya yakin mahasiswa dan rakyat tidak akan berundur walaupun dihadapkan dengan pelbagai ancaman. Kerana jika mereka tunduk pada waktu ini, negara akan jadi lebih parah.

“Hanya ada satu kata untuk menghentikan kegilaan ini, iaitu jangan pernah berhenti melawan,” tegasnya. – Roketkini.com