Berita

Belanjawan P. Pinang 2017 kecualikan cukai pintu, prihatin beban ditanggung rakyat

GEORGE TOWN, 16 NOV: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan akan meneruskan pemberian pengecualian cukai pintu kepada pemilik rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung.

Katanya, pengecualian cukai yang melibatkan penyerapan kos hampir RM14.1 juta itu adalah bukti bahawa kerajaan negeri amat prihatin dengan bebanan yang ditanggung rakyat berpendapatan rendah ekoran dihambat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurutnya, jumlah pengecualian cukai berkenaan adalah berdasarkan cukai pintu yang dipungut oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu berjumlah RM8.06 juta dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjumlah RM6.03 juta pada tahun 2017.

“Selain daripada pengecualian cukai yang diberikan sebanyak RM14,093,705.78, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung bebanan GST yang dianggarkan sebanyak RM46.2 juta setahun.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan MBPP dan MPSP untuk menanggung beban GST untuk tahun 2016 sebanyak RM19.36 juta yang tidak akan dibayar oleh rakyat tetapi ditanggung oleh MBPP dan MPSP.

“Ini juga akan diteruskan untuk tahun 2017. Ini bermakna rakyat Pulau Pinang akan mendapat penjimatan sebanyak RM19.36 juta daripada tidak perlu membuat pembayaran GST,” katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2017 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dengan pengecualian cukai pintu untuk pemilik rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah sebanyak RM11.7 juta dan penjimatan daripada pembayaran GST bagi pihak rakyat sebanyak RM19.36 juta, MBPP dan MPSP akan menanggung kos sebanyak RM33.45 juta.”

Selain itu, kata Guan Eng yang juga Adun Air Puteh, kerajaan negeri turut akan memberikan potongan sebanyak enam peratus cukai pintu untuk semua jenis hartanah lain termasuk hartanah komersial.

“Potongan enam peratus ini akan menjimatkan pemilik di kawasan MBPP sebanyak RM11,829,732.70 dan untuk mereka di kawasan MPSP menjimatkan RM9,907,892.00.

“Untuk pemilik hartanah yang bukan rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah, potongan enam peratus cukai pintu akan menyebabkan beban kewangan sebanyak RM21.74 juta kepada MBPP dan MPSP,” tambahnya. – Roketkini.com