Berita

DAP kutuk kezaliman tentera Myanmar ke atas etnik Muslim Rohingya

*kredit foto: farsnews.com

KUALA LUMPUR, 25 NOV: DAP mengutuk keras kezaliman yang dilakukan pihak berkuasa Myanmar ke atas ribuan masyarakat etnik Rohingya beragama Islam di wilayah Rakhine sejak Oktober lalu.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata tidak ada alasan yang mewajarkan tindakan kerajaan Myanmar berkenaan, khususnya ia melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata dan tidak melakukan apa-apa keganasan.

“Saya amat kecewa dan susah hati melihat kesengsaraan yang dialami masyarakat Rohingya akibat kezaliman tentera Myanmar ke atas mereka.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan mereka ini langsung tidak boleh diterima pada zaman tamadun moden sejagat,” tegas Ahli Parlimen Seputeh itu dalam satu kenyataan.

Ribuan etnik Rohingya yang berada di Malaysia dilaporkan mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Myanmar, di sini selepas solat Jumaat tadi.

Ia turut disertai oleh rakyat Malaysia dari parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang cuba menyerahkan lima memorandum membantah tindakan kerajaan Myanmar kepada wakil kedutaan.

Namun, semua memorandum itu hanya dapat diserahkan kepada pengawal keselamatan di kedutaan terbabit. – Roketkini.com