Berita

UMNO patut pecat ahli terlibat rusuhan di Parlimen

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Selain menyerahkan siasatan kepada polis, UMNO patut memecat ahlinya yang terlibat dalam rusuhan di pekarangan lobi Parlimen, semalam, ujar Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Menyifatkan rusuhan itu sebagai tidak boleh diterima dan melampaui batas, beliau turut menggesa agar Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO ekoran dakwaan menaja kumpulan rusuhan terbabit.

“Tidak ada sesiapa yang dibenarkan mengganggu Parlimen. Malah, saya yakin pemimpin dari pihak kerajaan (Barisan Nasional) juga bersetuju dengan perkara ini. Mereka patut rasa malu,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Sekumpulan individu dari Pasir Salak yang dipercayai diketuai oleh anak Tajuddin merusuh dan menyerang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad ekoran kenyataan “sial” yang dilemparkan Khalid sebagai tindak balas terhadap kenyataan seksis Tajuddin.

Tajuddin pada Isnin lepas menggelar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya perempuan yang ada ‘kok’ sehingga mengundang kecaman beberapa anggota Parlimen pembangkang yang menuntut supaya beliau menarik semula kenyataan itu.

Polis, dalam pada itu, telah mengarahkan supaya 10 individu termasuk anak Tajuddin menyerah diri kepada polis pada jam dua petang tadi atau tindakan penahanan akan diambil.

Mengulas lanjut, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP berkata, kekecohan seumpama itu tidak akan terjadi sekiranya Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menarik balik kenyataan seksisnya dan memohon maaf kepada Teresa pada hari kejadian.

“Jangan buat sebarang kenyataan berbaur seksis di Parlimen, beliau mungkin bermaksud untuk berjenaka, tapi jenaka sedemikian tidak boleh diterima,” ujarnya. – Roketkini.com