Berita

PAS – UMNO perguna isu Rohingya untuk kepentingan politik

KUANTAN, 7 DIS: UMNO dan PAS tidak mempunyai kredibiliti dan tidak layak untuk menjuarai isu pembantaian junta Myanmar terhadap etnik Muslim Rohingya kerana gagal membawa ia untuk dibahaskan secara menyeluruh di Parlimen.

Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kononnya serius memandang isu tersebut, sepatutnya menggunakan kaedah tekanan diplomatik dengan menutup kedutaan Myanmar di negara ini.

Namun, kata Tengku Zulpuri, UMNO dan sekutu barunya PAS memilih untuk melakukan ‘wayang politik’ dengan cara demonstrasi tanpa menyentuh dasar kerajaan yang jelas bagi menangani isu berkenaan.

“Isu Rohingya tidak kena gaya jika kerajaan yang mempunyai kuasa untuk menggubal dasar hanya sekadar melakukan demonstrasi.

“Mereka tidak boleh samakan demonstrasi itu dengan perhimpunan aman BERSIH 5, yang mana suara mereka bagi menuntut negara yang bersih dan adil telah disekat oleh kerajaan UMNO,” katanya kepada Roketkini.

Malah, katanya, Malaysia sehingga kini masih menjalinkan hubungan ekonomi dengan Myanmar, sekaligus menunjukkan sikap tidak serius UMNO untuk membawa isu etnik Muslim Rohingya ke arah penyelesaian yang lebih menyeluruh.

Ia ditambah dengan sikap hipokrit PAS, yang menurut Adun Mentakab itu, ‘menutup sebelah mata’ terhadap isu Orang Asli di Kelantan yang terjejas teruk ekoran sumber makanan dan minuman mereka dimusnahkan oleh aktiviti pembalakan.

“Pemimpin PAS telah mengunakan politik untuk kepentingan sendiri. Berkawan dengan ‘Perompak Negara dan Rakyat’ demi tengkolok mereka sahaja,” ujarnya.

Najib bersama Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang pada Ahad lepas menyertai perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya di perkarangan Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pertemuan kedua-dua pemimpin dalam pentas yang sama telah menimbulkan desas desus kerjasama politik kedua-dua parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14.- Roketkini.com