Berita

#MALAYA4: AUKU jadi alat kerajaan kekang suara mahasiswa

IPOH, 13 DIS: Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu dihapuskan kerana tidak lagi relevan dalam konteks masa kini selain bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Menurut Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee, akta itu juga seringkali digunakan pemerintah untuk mengekang suara mahasiswa yang lantang mengkritik salah urus tadbir kerajaan.

“Sehingga kini, AUKU hanya dijadikan alat oleh pemerintah untuk menghukum mahasiswa dan ahli akademik yang menuntut hak mereka sebagai warganegara, baik dalam menyertai gerakan politik mahupun menyuarakan kritikan kepada regim pemerintah.

“Dengan salah guna AUKU, adalah jelas bahawa pemerintah telah menghina mahasiswa dan ahli akademik seolah-olah mereka tidak layak menyertai politik, tambahan pula mereka dihukum dengan hukuman yang barangkali membinasakan masa depan mereka,” katanya kepada Roketkini.

Katanya, tujuan asal penggubalan AUKU adalah bagi ‘mengawal’ penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej universiti awam mahupun swasta.

Namun, akta berkenaan telah melalui empat siri pindaan iaitu pada 1975, 1983, 1996 dan 2012 sehingga menjadikan ia bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Mana-mana undang undang yang menghalang atau menyekat hak seseorang warganegara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, itulah yang bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Universiti Malaya (UM) menjatuhkan hukuman bersalah ke atas empat penuntutnya pada Jumaat lalu kerana terlibat dalam penganjuran perhimpunan aman Tangkap “Malaysian Official 1” (“MO1”) pada 27 Ogos lalu.

Mereka adalah Anis Syafiqah Md Yusof, Suhail Wan Azahar, Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Fazli atau dikenali sebagai kumpulan #Malaya4 dikenakan tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

Bentuk hukuman terhadap mereka bagaimanapun belum ditetapkan dan dijangka diputuskan pihak universiti dalam tempoh dua minggu akan datang.

Mengulas lanjut, Howard yang juga Adun Pasir Pinji berkata, tindakan UM itu juga membuktikan bahawa kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) telah ‘memperkudakan’ institusi pendidikan berkenaan untuk menyuntik rasa takut ke dalam masyarakat, khususnya mahasiswa.

“Mahasiswa yang celik mata tidak boleh tahan lagi kezaliman regim sedia ada yang menggunakan segala taktik bagi membisukan mereka.

“Inilah fitrah institusi awam pada hari ini, apabila regim pemerintah gentar dan rasa terancam, institusi awam diperalatkan untuk mengancam balik dan memulangkan kegentaran kepada pihak yang mengkritik,” katanya. – Roketkini.com