Berita

DAP seru majikan dan masyarakat elak diskriminasi terhadap penghidap HIV

JOHOR BAHRU, 14 DIS: Penekanan aspek pendidikan dalam mengatasi stigma masyarakat terhadap individu yang dijangkiti HIV perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan diskriminasi berterusan pihak majikan terhadap golongan berkenaan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berkata, tanggapan serong majikan yang sering mengaitkan penghidap HIV dengan kegiatan tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah harus diatasi dengan penerangan mengenai fakta yang sebenar.

“Pendidikan amat penting bagi mengatasi stigma masyarakat terhadap golongan tersebut. Masyarakat mungkin menganggap bahawa penghidap HIV adalah penagih dadah atau individu yang melakukan seks rambang.

“Namun, di Malaysia golongan suri rumah adalah antara penghidap HIV tertinggi,” katanya kepada Roketkini sambil memetik laporan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada 2010 yang mendapati jumlah penghidap HIV adalah nisbah satu pekerja seks dalam 13 suri rumah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Laporan Mitigasi HIV dan Hak Asasi Manusia 2015 yang dikeluarkan Majlis Aids Malaysia (MAC), semalam, yang mendapati terdapat ramai individu yang menghidapi penyakit itu hilang pekerjaan apabila diketahui oleh majikan mereka.

Berdasarkan laporan itu juga, diskriminasi di tempat kerja meliputi satu pertiga daripada 15 aduan yang diterima dan melibatkan pelbagai sektor pekerjaan swasta termasuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, individu yang dipecat atau didiskriminasi atas alasan dijangkiti HIV boleh mengambil tindakan perundangan terhadap majikan.

“Sebagai contoh, seorang yang didapati menghidap HIV di China telah memfailkan saman pada 2012 apabila dinafikan peluang pekerja sebagai guru sekolah hanya kerana didapati HIV positif. Pada Januari 2013 beliau berjaya dalam tuntutan saman itu dan diberikan pampasan.

“Kini ada tekanan daripada pelbagai pihak untuk menghentikan ujian kesihatan sebagai salah satu prosedur pengambil pekerja di negara berkenaan,” ujarnya. – Roketkini.com