Rencana

Genjatan senjata di Aleppo bukan tanda perang Syria sudah tamat

Setelah bertahun-tahun berlakunya pertempuran, pengepungan dan pengeboman, Perang Aleppo kini berakhir semalam dengan gencatan senjata yang telah dipersetujui.

Penamatan perang saudara yang telah menelan banyak nyawa itu telah membawa kemenangan kepada Presiden Syria Bashar al-Assad dan sekutu perangnya yang terdiri daripada Rusia, Iran dan militia Syiah tempatan.

Hal yang demikian juga membawa kekalahan kepada kumpulan penentang yang berjuang dengan hasrat asal menyingkirkan Assad, suatu usaha yang bermula sejak Arab Spring 2011.

Kini, pengepungan dan pembunuhan sudah berhenti. Kumpulan penentang menuntut kejayaan moral, dan regim Assad menuntut pengiktirafan semula kuasa. Dunia tidak akan lagi mendengar berita maranya tentera dan letupan di sana sini. Rakyat hakikatnya akan berhenti menjadi korban.

Tetapi tidak. Ia bukan sesuatu yang wajar diraikan.

Mereka yang terkorban di dalam perang ini tidak boleh dikembalikan dengan apa-apa cara sekali pun. Assad, si pencetus perang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan penunjuk perasaan yang aman, kini masih berkuasa dan lebih bertapak dari sebelum ini.

Campur tangan kuasa-kuasa besar melalui perang proksi yang berlandaskan pertukaran mahupun pengekalan regim kini masih berlaku. Islamic State (IS) hakikatnya masih berleluasa di luar sana.

Kita semua akhirnya boleh berasa tenang apabila angka kematian akhirnya berhenti bertambah, tetapi masalah pada sistem yang menjurus kepada perang ini, jelasnya masih menguasai Syria dan rakyatnya.

Rakyat Aleppo Aleppo yang tidak bersalah, setiap insan yang kehilangan punca kasih sayang, malah mereka yang telah bersedia untuk dicabut nyawa, mereka inilah jiwa-jiwa yang harus kita sampaikan solidariti ini.

Tidak ada apa-apa untuk kita raikan. Naratif ini tidak mempunyai sebarang kejayaan untuk kita raikan; kerana pada logiknya, tidak boleh wujud satu pun kejayaan yang asasnya ditempa atas darah dan nyawa.

Kepada mereka yang mahu menumpang kegembiraan di atas kejayaan Putin, Assad ataupun di atas kejayaan demokrasi palsu kerajaan Syria; kami memohon anda untuk berdiam dan berhenti.

Kepada mereka yang juga mahu menuntut kejayaan bagi Turki dan Rusia kerana menjadi pemudah cara untuk gencatan senjata ini; kami memohon anda untuk berdiam dan berhenti.

Kepada yang hendak menunjuk perasaan atas kegagalan taktik campur tangan Amerika Syarikat; kami juga memohon anda untuk berdiam dan berhenti.

Kini, akhirnya sudah tiba masanya kita berkabung untuk insan-insan yang direntap keluarganya, sahabatnya, dan insan yang tersayang. Mereka mempunyai hak untuk berkabung secara aman dan diam.

Ia mungkin juga terlalu awal untuk berbicara soal pembinaan semula negara; luka-luka perang, dan kehilangan nyawa dan kebebasan tidak boleh, barangkali mustahil untuk sembuh sepantas ataupun semudah itu.

Namun, itulah apa yang kami laungkan; pembentukan semula maruah dan nyawa rakyat Aleppo. Pemuda Aleppo, kalian kini bertanggungjawab untuk membina semula negara ini, walaupun masa mudamu dipenuhi dengan pertumpahan darah.

Perang Aleppo mungkin telah tamat, namun perang saudara Syria masih di sini membilang waktu untuk tercetus semula.

Terimalah solidariti daripada kami.

*Howard Lee Chuan How adalah Presiden International Union of Socialist Youth (IUSY) merangkap Adun Pasir Pinji