Berita

Terus penjarakan Anwar, langkah politik ketepi pencabar paling bahaya dalam PRU14

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Badan pemantau hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) menganggap keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan dakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai suatu lagi tragedi buruk yang menimpa sistem keadilan di Malaysia.

Pengarah HRW Asia, Phil Robertson dalam satu kenyataan yang dimuatnaik ke laman Facebook badan berkenaan berkata kes tersebut adalah bersifat politik sejak awal lagi serta melibatkan sabitan yang sengaja direka-reka.

“Keputusan hari ini menunjukkan mahkamah bukanlah tandingan kepada dendam politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Anwar,” katanya.

Menurut Robertson, mengekalkan Anwar di dalam penjara merupakan satu langkah yang diambil Najib dan UMNO bagi mengenepikan pencabar paling bahaya supaya dapat memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Najib dan parti pemerintah baru sahaja melepaskan tembakan yang menandakan bermulanya pilihan raya yang dijangka pada 2018 apabila meminggirkan pemimpin pembangkang yang dirasakan paling berkemampuan (mengalahkannya),” ujarnya.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Anwar untuk menyemak semula keputusan sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi sabitan meliwat.

Panel hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata tidak ada merit bagi menyemak permohonan itu.

“Ini bukan kes yang sempurna dan layak untuk mahkamah menggunakan bidang kuasanya,” katanya.

Dengan keputusan tersebut, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan terus dipenjara sehingga pertengahan tahun 2018.

Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita sebentar tadi, beliau berkata usahanya untuk membebaskan diri daripada penjara akan diteruskan walaupun permohonan itu ditolak.

“Ini bukanlah penamat kepada segala-galanya. Saya akan berbincang dengan peguam mengenai langkah yang akan diambil melalui proses undang-undang,” kata Anwar. – Roketkini.com