Berita

Whatsapp palsu disebar, fitnah Guan Eng mahu tutup MARA pula

GEORGE TOWN, 4 JAN: Lim Guan Eng difitnah lagi, kali ini melalui penyebaran mesej melalui aplikasi Whatsapp mendakwa kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang itu mahu menutup Majlis Amanah Rakyat (MARA) jika berjaya menawan Putrajaya.

Kesal dengan fitnah itu, Pembantu khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Zaidi Ahmad hari ini membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan mengikut Seksyen 499 atau 500 Kanun Keseksaan kerana jenayah fitnah.

Tegasnya, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu penutupan MARA seperti yang disebarkan itu.

“Beliau juga tidak pernah mengarahkan sesiapa menghantar atau menyebarkan mesej sebegitu bagi pihaknya,” kata Zaidi kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.

MARA adalah agensi kerajaan yang ditubuhkan semasa era pentadbiran Tun Abdul Razak bagi membantu kaum bumiputera negara ini menceburi bidang perniagaan.

Penyebaran fitnah itu dilihat sebagai serangan peribadi untuk menimbulkan persepsi negatif di kalangan bumiputera khususnya kaum Melayu terhadap prestasi cemerlang pentadbiran Pakatan Harapan di Pulau Pinang.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Syeerlena Abdul Rashid ketika dihubungi Roketkini berkata, dalam ura-ura Pilihan Raya Umum Ke-14 yang semakin hampir, cerita palsu seumpama itu sering direka demi mempengaruhi rakyat.

“Politik kotor, politik fitnah ini memang membuktikan bahawa mereka sudah tiada modal untuk meraih sokongan daripada rakyat.

“Saya harap polis dapat menyiasat kes ini dan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menyebarkan mesej tersebut kepada orang ramai kerana ia jelas adalah fitnah yang tidak berasas,” katanya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Dua minggu lalu, satu laporan polis turut dibuat ekoran penyebaran mesej melalui aplikasi Whatsapp yang mendakwa kononnya Ahli Parlimen Bagan itu menyokong keganasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar. – Roketkini.com