Berita

Amalan tidak ambil hak rakyat harus bermula dari Najib

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Jika benar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahukan pegawai-pegawai kerajaan bersikap telus dan amanah serta tidak menyalahgunakan dana awam, beliau haruslah mempraktikkannya terlebih dahulu.

Perkara ini, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang boleh dimulakan Najib dengan menerangkan hal sebenar kepada rakyat berhubung wang ‘derma’ berjumlah RM2.6 bilion dan RM42 juta dari syarikat SRC International yang masuk ke akaun peribadinya.

“Jika tidak, ucapan Najib mengenai pegawai kerajaan tidak boleh mengambil hak rakyat hanyalah satu tindakan hipokrit,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu secara sinis menyatakan beliau akan ‘terkejut’ jika 99 peratus pegawai Jabatan Perdana Menteri yang mendengar ucapan Najib pagi tadi tidak terfikir tentang status Malaysia sebagai kleptokrasi global, skandal 1MDB dan gelaran ‘MO1’.

Ia berikutan ketiga-tiga isu berkenaan mendapat liputan luas seluruh dunia sehingga Najib pernah dikatakan sebagai antara Menteri Kewangan terburuk Asia.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin NGO seperti Cynthia Gabriel dari C4 dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah turut meminta Najib selaku ketua kerajaan menjadi contoh pentadbiran yang telus dan amanah kepada pegawai-pegawai lain. – Roketkini.com