Rencana

Di Pulau Pinang, azan berkumandang setiap waktu

 

Entah apalah bala telah menimpa umat negara ini sehingga boleh mempercayai fitnah dengan begitu mudah, tanpa sebarang usul periksa. Mungkin kerana Pulau Pinang itu Ketua Menterinya Cina, dan kerusi kerajaannya majoriti DAP, maka mesti terus percaya segala tohmah dan pembohongan yang dilempar orang terhadapnya.

Beberapa tohmahan terhadap kerajaan negeri kini sedang diulang-siar, dengan harapan untuk mengaburi mata orang ramai daripada melihat kebobrokan yang dirintis oleh pucuk pimpinan negara, dalam skandal-skandal kewangan berskala global.

Tulisan ini adalah permulaan kepada siri menjawab fitnah-fitnah tersebut.

Fitnah ‘tidak boleh azan di Pulau Pinang’ adalah antara fitnah paling mengarut dan tidak masuk akal yang pernah direkayasa oleh puak pemakan dedak, hatta ia terus menjadi buah mulut orang sehingga masuk tahun 2017, lima tahun sejak fitnah itu dimulakan.

Ya, lima tahun lalu, pada bulan Ramadan 2012 akhbar milik UMNO, Berita Harian melaporkan di muka hadapan bahawa Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara pada waktu Subuh.

Berhari-hari pejabat Ketua Menteri, pejabat Exco agama, Jabatan Mufti mengadakan sidang media untuk memperjelas isu terbabit.

Namun sehingga tahun ini pun masih belum selesai orang menyebar kembali fitnah yang sudah tidur itu. Hatta segala lebai dan alim pun turut sama menuduh bahawa Pulau Pinang sudah tidak benarkan laungan azan.

Mereka yang percaya dengan fitnah ini, barangkali perlu makan kismis minda yang dibacakan 30 Juzuk Al-Quran dan dibasuh dengan air zam-zam.

Untuk meleraikan gundah umat Melayu yang malas ambil tahu ini, kami pergi sendiri ke Pulau Pinang untuk membuat tinjauan dan merakam bukti-bukti bagi membunuh tuduhan dangkal puak-puak pemakan dedak tersebut.

Pagi-pagi Jumaat kami turun ke Kampung Melayu, Air Itam dan bertemu Hajjah Bedah ketika beliau baru sahaja selesai membeli keperluan harian di perkarangan rumah pangsa yang menempatkan nasi kandar paling sedap di wilayah tadbiran DAP itu.

 

“Sini azan hari-hari”

“Dah makan nasi kandaq belum?” tanya beliau, sambil kami menyiapkan perkakas rakaman video.

Disoal apa benar tidak boleh azan di Pulau Pinang, wanita ini pantas mengerutkan dahi, dan menggelengkan kepala. “Hai dakkk.. Sini azan hari-hari,” katanya, seolah-olah tidak percaya kami akan sanggup bertanya soalan sebodoh itu kepadanya.

“Tak pernah dilarang nak azan di mana-mana pun. Boleh azan, semua okey,” tambahnya.

Menurut Hajjah Bedah lagi, penduduk setempat lebih mudah mempelajari ilmu-ilmu agama, ekoran masjid dan surau di Pulau Pinang yang diimarahkan dengan pelbagai kemudahan dan program.

“Kat masjid negeri tu tiap-tiap minggu ada kuliah.

“Makcik balik ikut belah kampung, nak buka puasa, pukul lapan dok tunggu azan, tak azan-azan lagi,” tambahnya, menceritakan pengalaman di luar negeri Pulau Pinang.

Lain pula respon Encik Nasarudin, seorang peniaga Uptown Perda.

“Itu saya rasa cerita tu, ‘hearsay’ disampaikan daripada satu pihak ke satu pihak.

 

Mengarut, berniat jahat

“Saya bukan takut tak boleh azan, saya takut tak ada orang nak azan,” katanya, menjawab persoalan serupa. Boleh dilihat dari riak wajahnya, betapa merepeknya tuduhan yang dilemparkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.

Beliau malah menganjurkan pertandingan azan untuk kanak-kanak, di Taman Selat, Butterworth. Selain melatih kanak-kanak untuk berani dan mempertingkat keyakinan diri, ia juga bertujuan untuk menangkis fitnah itu.

“Macam mana kata Pulau Pinang tak boleh azan, sedangkan kita buat pertandingan azan.

“Budak-budak ni esok nak pi azan di mana?” soalnya sambil menahan ketawa, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai mengarut dan berniat jahat.

Tuduhan larangan azan, seperti juga tuduhan pengusiran kampung Melayu, dan perobohan gerai Melayu tidak lain merupakan modus operandi United Malays National Organisation, untuk bermain dengan api perkauman, dan membangkitkan rasa tidak senang orang ramai di luar Pulau Pinang terhadap DAP, yang terus menerus dilabel sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Apa kata anda berkunjung ke Pulau Pinang dan saksikan dengan mata kepala sendiri, bagaimana Pulau Mutiara ini telah berubah sejak lapan tahun lalu, setelah pentadbiran negeri diambil alih oleh kerajaan Pakatan.

Semoga kita semua tidak akan dibutakan mata dan hati daripada menyaksikan kebenaran. – Roketkini.com