Berita

Ada apa dengan firma audit baru syarikat bermasalah 1MDB?

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Belum pun sebulan menjalankan tugas, kredibiliti firma audit antarabangsa, Parkel Randall sudah dipersoal beberapa pihak.

Ia merupakan firma kelima yang dilantik 1MDB bagi menjalankan kerja-kerja mengaudit selepas dua daripada empat firma sebelum ini dipecat oleh syarikat bermasalah negara berkenaan dengan satu daripadanya menarik diri.

Ernst & Young merupakan firma pertama yang dilantik 1MDB namun dipecat sebelum laporan audit kewangan pada 2010 disiapkan. Ia kemudiannya diganti KPMG yang turut dipecat ekoran enggan mengesahkan akaun kewangan bernilai AS$2.3 bilion.

Manakala, Deloitte yang menarik diri daripada terlibat dengan akaun 1MDB turut mengeluarkan kenyataan bahawa laporan kewangan syarikat berkenaan yang dikeluarkan firma audit itu bagi 2013 dan 2014 tidak boleh lagi digunakan.

Keputusan itu diambil firma audit tersebut selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengambil tindakan saman sivil bagi menyita aset bernilai hampir AS$1 bilion yang diseleweng daripada syarikat hasil buah fikir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terbabit.

Menurut artikel portal Cilisos yang diterbitkan hari ini, Parkel Randall bukanlah nama besar berbanding empat firma atau ‘Big 4’ yang dilantik 1MDB sebelum ini.

Malah, dua juruaudit yang ditemuramah portal berkenaan turut tidak mengenali firma terbabit.

“Tidak pernah dengar langsung mengenai mereka,” kata seorang juruaudit yang enggan namanya dikenali.

Menurut artikel bertajuk ‘OMG, 1MDB HAS NEW AUDITORS! BUT THEY…. CANNOT GRAMMAR PROPERLY’ itu, laman web firma audit yang berpangkalan di United Kingdom berkenaan juga didapati mempunyai beberapa kesalahan tatabahasa.

Pemilihan firma audit yang baru oleh 1MDB dinanti-nantikan banyak pihak khususnya pembangkang bagi merungkai kemelut skandal kewangan yang telah mengakibatkan negara digelar sebagai ‘kleptokrasi global’.

Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani seperti yang dilaporkan media berkata 1MDB masih gagal untuk mencari juruaudit yang baharu selepas Deloitte menarik diri pada Julai lalu.

“Saya rasa mereka (1MDB) sedang mencari juruaudit yang bersedia untuk menerima kerja berkenaan,” katanya ketika ditanya mengenai kesukaran syarikat milik Kementerian Kewangan tersebut untuk mencari penganti juruaudit. – Roketkini.com