Berita

Pendidikan pra-sekolah anak Orang Asli Pos Lenjang, Pahang terabai

CAMERON HIGHLANDS, 12 JAN: Satu sesi dialog antara NGO dan pemimpin politik bersama penduduk Orang Asli dari lebih tujuh kampung di sekitar Pos Lenjang telah diadakan dekat Kampung Dayok, Selasa lalu.

Sesi yang dikendalikan Impian Malaysia itu memberi ruang kepada penduduk mengetengahkan masalah yang dihadapi selama ini khususnya dari aspek pendidikan.

Seorang penduduk yang tidak mahu dikenali berkata, penyedia perkhidmatan pengangkutan yang telah dibayar oleh kerajaan melalui agensi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) mengenakan caj tambahan sebanyak RM3.00 bagi setiap pelajar.

Bayaran secara bulanan tersebut kononnya dikenakan bagi tujuan perlindungan insuran.

“Ada anak-anak di sini menangis kerana dihalau dari menaiki lori untuk ke sekolah kerana tidak membayar caj itu,” katanya.

Selain itu, rata-rata ibu bapa di kampung berkenaan turut membangkitkan mengenai ketiadaan kemudahan pra-sekolah yang sempurna, selain tiada kelas tambahan bagi tujuan persediaan peperiksaan.

Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang meluangkan masa dalam sesi berkenaan berkata, pihaknya akan membawa isu tersebut dalam sidang dewan pada Mac akan datang.

Adun Mentakab, Tengku Zulpuri (tengah) dan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming (bertopi)

Katanya, hak dan kepentingan Orang Asli adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 8(5)(c) yang memberikan hak setimpal untuk kemajuan Orang Asli termasuk perizaban tanah.

“Orang Asal sememangnya mempunyai hak. Tetapi apa yang dilakukan mereka (kerajaan Barisan Nasional (BN)) adalah mereka melayan Orang Asli ini seperti sampah, seperti tidak tahu hak,” ujarnya yang juga Adun Mentakab.

Justeru, katanya, Orang Asli harus mengetahui hak mereka dari segi pembangunan khususnya pendidikan supaya tidak berterusan diperkotak-katikan pemimpin BN.

“Jika Orang Asli tidak tahu hak mereka, pemerintah yang ada kini akan mainkan perasaan Orang Asli sahajalah sampai bila-bila,” katanya.

Tengku Zul menambah, setiap aduan haruslah dilakukan dengan saluran yang betul bagi memberi tekanan kepada kerajaan pemerintah untuk mendengar suara Orang Asli.

Turut serta dalam sesi dialog tersebut ialah Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming dan Adun Damansara, Yeo Bee Yin.

Selain Kampung Dayok, penduduk kampung lain yang terlibat dalam sesi berkenaan adalah Kg. Rakoh, Kg. Kenderung, Kg. Cak Ang, Kg. Pagar, Kg. Gening dan Kg. Batu Gajah. – Roketkini.com