Berita

Air mata kegembiraan sambut kemenangan perjuangan penduduk Permatang Tok Subuh

BUKIT MERTAJAM, 23 JAN: Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila akhirnya mendapat penempatan baru dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Perasaan sama turut dikongsi Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang selama tiga tahun tidak jemu menyokong dan membantu perjuangan 26 buah keluarga yang berdepan pengusiran oleh pihak pemaju itu.

Steven dalam satu posting Facebook meluahkan rasa syukur tidak terhingga kerana akhirnya segala ‘air mata, keringat dan kegusaran Tok Subuh’ reda apabila Kerajaan Negeri menawarkan pembelian rumah kos rendah pada harga RM25,000 sahaja kepada penduduk.

Steven berkata beliau masih ingat bagaimana jejak pertamanya di kampung itu disambut dengan suasana suram dan kegusaran penduduk tentang nasib rumah mereka yang bakal diroboh.

“Saya masih ingat lagi ucapan saya masa itu (tiga tahun lalu) kepada mangsa pengusiran paksa Kampung Tok Subuh. (Saya kata) kalau kalian nak ‘settle’, kita bantu ‘settle’ sama pemaju.

“Kalau kalian nak lawan, kita lawan sama-sama,” katanya.

Sebagai wakil rakyat, beliau sedar bahawa nasib 26 buah keluarga itu merupakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Dalam pada itu, Steven turut mengakui wujud kekhuatiran sebelum ini jika sebarang langkah yang diambil dalam perjuangan itu akan menyukarkan penduduk dan membawa musibah.

Namun, khabar gembira dari Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini untuk membina 37 rumah di lot tanah milik kerajaan kepada semua keluarga yang diusir paksa itu adalah ‘hadiah’ yang ditunggu-tunggu selama ini.

“Nasib pejuang Tok Subuh pada hari ini (21 Januari) digubal dengan kuasa sendiri. Dengan tangan sendiri, dengan keringat dan air mata sendiri,” ujarnya.

Roketkini sebelum ini pernah menyiarkan tulisan Steven mengenai kisah perjuangan penduduk Kampung Permatang Tok Subuh. Ia boleh dibaca di: https://www.roketkini.com/2016/04/18/hak-perumahan-harus-dimasukkan-ke-dalam-perlembagaan-persekutuan/ – Roketkini.com