Berita

Wujudkan sistem satu kad untuk semua pengangkutan awam Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Syarikat pengangkutan awam negara ini disaran supaya menggabungkan kesemua kad prabayar kepada kad tunggal bagi memudahkan perjalanan pengguna.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, pengguna ketika ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga kad berbeza untuk menikmati diskaun perkhidmatan LRT, KTM Komuter, Bas Rapid, dan terbaru MRT.

“Sebagai contoh, untuk perkhidmatan yang dijalankan oleh Prasarana, seperti LRT, hanya pengguna kad MyRapid berhak mendapat diskaun.

“Penumpang yang memilih ‘MyRapid Smart 7 Mingguan’ atau ‘MyRapid Smart 30 Bulanan’ akan menikmati diskaun antara 18 dan 35 peratus berbanding dengan tambang bayaran wang tunai. Diskaun ini tidak dinikmati pengguna Touch ‘n Go.

“Bagaimanapun, kad MyRapid tidak boleh digunakan pada KTM Komuter, dan yang lebih menghairankan, ia juga tidak boleh digunakan untuk MRT – yang juga dikendalikan oleh Prasarana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, katanya, kad Komuter Link yang dilancarkan KTM Komuter baru-baru ini juga tidak memberi sebarang faedah atau potongan harga kepada pengguna.

Menyedari kesukaran itu, Rajiv yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor menggesa agar kad Touch n’ Go digunakan sebagai kad tunggal bagi semua perkhidmatan tersebut.

“Ini kerana Touch’ n Go adalah kad yang paling popular digunakan, yang selain dapat digunakan bagi perkhidmatan pengangkutan awam, juga boleh digunakan untuk pembayaran tol elektronik, tempat letak kenderaan dan beberapa kedai lain.

“Malah, kebanyakan bandar di negara lain mempunyai hanya satu kad bayaran tambang, walaupun terdapat banyak syarikat pengusaha pengangkutan yang berbeza.

“Sudah sampai masa Putrajaya bergerak ke arah sistem pembayaran satu kad demi kemudahan semua penumpang,” katanya. – Roketkini.com