Berita

Kes kematian dalam tahanan: Peguam Negara digesa ambil perhatian serius

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Peguam Negara digesa mengambil langkah perlu bagi memastikan kes kematian banduan dalam tahanan S Balamurugan diurus dengan sewajarnya.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, dalam kes melibatkan kematian dalam tahanan, inkues daripada Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya diperlukan bagi mencari punca sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.

Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah menjelaskan perkara ini. Adalah kewajipan Pendakwa Raya untuk mengarahkan inkues diadakan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini sambil menggesa agar anggota polis yang terlibat dalam kejadian berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan.

Balamurugam, 44, dipercayai mati sewaktu dalam tahan pada dua hari lalu dengan kesan luka, lebam dan darah jelas kelihatan pada tubuhnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat hari ini mengesahkan bahawa sudah memanggil anggotanya yang dipercayai terlibat dalam kematian mangsa untuk disiasat.

Abdul Samah, memetik laporan Free Malaysia Today, berkata, pihaknya juga telah menubuhkan satu kumpulan siasatan khas bagi menyiasat perkara tersebut.

“Kita sedang membuat siasatan terhadap pegawai terlibat dalam salah laku yang membabitkan kejadian itu. Saya juga sudah tubuhkan kumpulan siasatan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Ia untuk menyiasat perkara ini secara mendalam dan hasil daripada siasatan, barulah ditentukan tindakan yang perlu jika terbukti ada pegawai melakukan kesalahan,” katanya dipetik laman portal berita itu.

Mengulas lanjut, Gobind yang juga Ahli Jawatankuasa DAP berkata, pihaknya akan menyuarakan mengenai kes berkenaan di sidang Parlimen pada bulan hadapan.

“Kementerian Dalam Negeri perlu bersedia dengan jawapan. Mereka mesti memberitahu rakyat apa yang berlaku dalam kes ini dan apa tindakan yang telah diambil untuk menanganinya.

“Mereka juga mesti menjelaskan kepada rakyat mengapa, meskipun mereka kononnya sudah mengambil langkah perlu mengatasi masalah itu, kematian dalam tahanan masih terus berlaku di Malaysia,” ujarnya. – Roketkini.com