Berita

Kit Siang ziarah keluarga mangsa, harap nahas maut babitkan 8 remaja tidak berulang

JOHOR BAHRU, 19 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini melahirkan rasa dukacitanya atas kemalangan yang menimpa lapan remaja yang maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran perkuburan Mahmoodiah di sini, dua hari lalu.

Beliau bersama-sama beberapa pemimpin DAP Johor sempat meluangkan masa menghadiri majlis pengebumian salah seorang mangsa kejadian berkenaan di Tanah Perkuburan Bukit Alif Kempas dekat Tampoi, di sini semalam.

“Saya bersedih terhadap kematian Shahrul Izwan, 14, yang dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan, tujuh lagi remaja yang turut maut dalam kemalangan tersebut, dan lapan lagi remaja yang tercedera ekoran kejadian buruk itu.

“Saya bersedih untuk ibu bapa dan keluarga Shahrul Izwan; ibu bapa dan keluarga tujuh lagi remaja yang maut dalam kejadian itu, malah ibu bapa dan keluarga mangsa yang tercedera dalam kemalangan berkenaan.

“Saya turut bersedih untuk pemandu berusia 22 tahun yang bekerja sebagai jurujual itu kerana terpaksa menghadapi trauma seumur hidup atas apa yang terjadi, walaupun bukanlah niatnya untuk melihat peristiwa itu berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tujuh lagi remaja yang maut ialah, Fauzan Halmijah, 13; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14;  Mohammad Azrie Danish Zuldefli, 14; Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14; Mohamad Azhar Amir 16; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azahar 16; dan Haizal Kasrin, 16.

Bagi Kit Siang, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin setempat, ahli politik dan pegawai institusi awam harus dipersalahkan ekoran sikap acuh tak acuh dan cuai dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak terjadi.

“Tugas segera yang harus dilaksanakan secara bersama oleh semua pihak adalah untuk memastikan bahawa semua mangsa yang mati dan mengalami kecederaan dalam kemalangan itu tidak di sia-siakan begitu sahaja.

“Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi, tidak kira sama ada di Johor Baharu atau mana-mana sahaja di negara ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah. – Roketkini.com